IRC DAN PENGLIBATAN DAKWAH DI MALAYSIA - SATU CATATAN RINGKAS
Sejarah Penubuhannya
Islamic Representative Council (IRC) atau dalam bahasa Melayunya, Majlis Syura Muslimin (MSM)[1][1] adalah
satu kumpulan dakwah di kalangan para pelajar Malaysia yang ditubuhkan
di United Kingdom (UK) pada awal tahun 70-an, bergerak cergas sehingga
ke hari ini.[2][2]
Ada pendapat yang mengatakan ianya diasaskan di Brighton, England oleh
para pelajar Malaysia yang dihantar ke sana atas biasiswa Kerajaan
Perskutuan.[3][3] Gerakan IRC amat rahsia sifatnya. Sistem yang diamalkan di dalam IRC amat rigid, tetapi berdisiplin tinggi, mempunyai manhaj tarbiyyah usrah yang tersusun lengkap dengan sukatan dan peringkatnya,[4][4] amat menekankan aspek tarbiyyah di kalangan ahli, dikawal sepenuhnya oleh naqib
dan pimpinannya, bergerak secara yang amat halus dan teliti dan
rata-ratanya dianggotai oleh kalangan intelektual yang “bijak dari segi
pencapaian akademiknya”.[5][5]
Menurut seorang pengkaji sosial, IRC pada mulanya dipimpin oleh barisan
intelektual dan pelopor gerakan Islam di Indonesia yang secara
kebetulan juga belajar di UK terutamanya Ir. Imaduddin Abdul Rahim[6][6] yang mendapat pendedahan gerakan Islam dari Ikhwanul Muslimin, Mesir dan Jami’at Islami, Pakistan.[7][7]
Pada awal tahun 70-an, Kerajaan Malaysia melaksanakan program
memberikan biasiswa kepada ramai pelajar lepasan MCE/SPM dan HSC/STP
untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. UK adalah destinasi yang favourite di kalangan Malaysians. Di Malaysia sendiri, Institut Teknologi Kebangsaan – ITK (kini Universiti Teknologi Malaysia – UTM) menjadi base kepada
IRC apabila graduan yang telah belajar di UK itu (kebanyakannya
mengambil jurusan kejuruteraan, sains gunaan dan berkaitan), pulang
sebagai pensyarah dan mengajar di ITK. Hubungan ITK dengan Institut
Teknologi Bandung (ITB) di Indonesia menjadi akrab.
Demikianlah, semakin tahun semakin ramai pelajar Malaysia dihantar ke
luar negara, semakin meluas fikrah IRC mula tersebar UK, Australia, di
Amerika Syarikat (umpamanya di Terra Houte, Houston yang merupakan
“Kampung Malaysia” di Amerika!) malah di Mesir dan Jordan.
Pimpinan-pimpinan tertinggi al-ikhwan (‘Alami) sering berkunjung
ke UK, USA, Australia, Mesir dan Jordan dan para pelajar Malaysia
didedahkan secara langsung kepada pengalaman mereka dalam dakwah.[8][8]
Semua ini adalah pengalaman yang amat baru bagi pelajar kita di luar
negeri. Berbanding dengan rakan-rakan mereka yang menuntut di dalam
universiti tempatan yang hanya mendapat tarbiyyah daripada kalangan ustaz-ustaz tempatan, peluang berjumpa, berbincang dan bergaul dengan barisan pimpinan al-Ikhwan dan Jami’at Islami dirasakan amat luar biasa dan memberikan kekuatan baru kepada para pelajar Malaysia. IRC sering menyebut bahawa kini mereka “mempunyai pakar rujuk yang benar-benar harakiyyah sifatnya” malah adalah yang tidak segan-segan mengatakan bahawa “mereka telah diterima masuk oleh Ikhwan ke dalam Tanzim ‘Alami”.[9][9]
IRC, ABIM dan PAS di Malaysia
Bagaimanapun di Malaysia sudah wujud Gerakan Islam bernama ABIM di
peringkat persatuan bukan politik dan PAS sebagai parti politik. Semua
pimpinan IRC ketika itu seperti Prof. Abang Abdullah, Zaid Kamaruddin,
Mustafa Abdul Kader, Abdul Jalil Hassan, Azman Hussin, Ariffin (Said?),
Ahmad Tarmidzi, Dzulkifli Muhammad, Saari Sungip (Abu ‘Urwah), Dr. Abdul
Rahim Gouse, Dr. Mohd Hatta Shahrom dan sebagainya amat memahami bahawa
mewujudkan satu Jamaah lagi di Malaysia apabila mereka pulang adalah
tidak syar’iyy dari segi
prinsip jamaah Islam malah bertentangan dengan kaedah gerakan Islam.
Hendak duduk di dalam ABIM, mereka tidak sebulu dan sehaluan. Untuk
melibatkan diri dalam politik, tarbiyyah dan fikrah mereka menghalang mereka daripada berbuat demikian, lagipun seperti yang sering mereka hujjahkan ketika itu: “PAS
tidak mempunyai tarbiyyah dan ustaz-ustaz dalam PAS tidak mendapat
tarbiyyah harakiyyah daripada kalangan al-Ikhwan Mesir dan oleh itu,
memasuki siasah apatah lagi PAS, adalah “tidak betul” dan PAS perlu
dijauhi”.[10][10]
Pada awal 80-an IRC mengambil sikap “tidak menterjemahkan identiti
diri” mereka di dalam masyarakat. Namun usrah-usrah IRC wujud terutama
di kampus-kampus universiti tempatan secara sulit dan rahsia. Ketika itu
sudah ramai tenaga IRC pulang ke tanah air selaku pensyarah terutama di
UM, UKM, UPM, ITM dan UTM. Manakala terdapat juga beberapa orang tenaga
ustaz yang mendapat didikan di Mesir yang memberikan sumbangan tertutup
kepada mahasiswa kampus seperti Ustaz Darus Senawi di UM, Ustaz Zawawi
Ali di Kolej Islam Kelang, Ustaz Alias Othman di UM, Ustaz Kamil Abdul
Majid di UM dan sebagainya.[11][11]
Dalam perbincangan-perbincangan tertutup di peringkat tertinggi IRC,
rupa-rupanya ada usaha-usaha sulit untuk membenarkan figure-figure IRC tertentu untuk memasuki medan dakwah secara terbuka terutama PAS.[12][12] Maka saudara Mustafa Abdul Kader yang bergerak aktif dalam Pemuda dan PAS Shah Alam dan Selangor menjadi test case
IRC yang pertama. Ketika itu, ABIM sudah tidak mendapat tempat dan PAS
menjadi tumpuan. Mustafa Abdul Kader diberi kepercayaan sehingga
menduduki EXCO Pemuda PAS Pusat dan juga EXCO PAS Selangor. Kemudian
lebih ramai bekas IRC”[13][13] memasuki PAS termasuklah YB Khalid Samad[14][14]
yang kemudiannnya diikuti oleh lainnya, yang paling menonjol kini ada
YB Dr. Dzulkifli Ahmad (Abu Iman), AJK PAS Pusat. Sumbangan bekas IRC
dalam PAS memang ada kesannya. Pimpinan PAS terutamanya Ustaz Fadhil
Mohd Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang sangat terbuka dalam kes IRC masuk
PAS. Pintu PAS dibuka seluas-luasnya kepada mereka. Kritikan orang-orang
IRC di luar dan dalam negara diterima baik oleh PAS dalam rangkaian
semangat “IRC menegur kita untuk sama-sama membina PAS” dan kini “keluarga Jamaah Islam semakin luas”.
Bagaimanapun pada tahun 1985 sudah kedengaran suara-suara dari kalangan Pemuda PAS bahawa anggota IRC dalam PAS “bawa fikrah IRC dalam PAS dan secara diam-diam mengutuk PAS di luar”. Semakin
banyak bukti diperolehi untuk dikemukakan kepada Dewan ‘Ulamak dan
Dewan Harian PAS bahawa barangkali masanya sudah tiba bagi PAS untuk
mengkaji sejauh mana peranan bekas IRC dalam PAS. Pertembungan terbuka
mula berlaku. Tetapi di peringkat pimpinan tertinggi PAS Pusat, masih
tiada apa masalah. Malah, Ustaz Abdul Hadi Awang (kini YB Tuan Guru
Dato' Seri) menulis kata pengantar siri buku Risalah Usrah oleh
Abu ‘Urwah (YB Saari Sungip). Buku yang dianggap teks utama usrah IRC
itu menjadi bahan usrah utama di dalam kampus-kampus sehinggakan
terdengar cerita buku yang sama digunakan juga oleh para mahasiswa
Malaysia di Universiti al-Azhar dan universiti lain di Timur Tengah![15][15]
Suatu ketika dulu, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Dr. Abdul Aziz
Hanafi adalah di antara pimpinan PAS yang bermati-matian mempertahankan
IRC dalam PAS manakala Ustaz Nakhaie dan Ustaz Harun Taib di antara yang
paling kuat menentang fikrah IRC ketika itu. Satu perkara yang menarik
ialah pimpinan tertinggi PAS masih memberikan ruang kepada IRC
sehinggalah PAS Shah Alam mengemukakan dokumen-dokumen penting
membuktikan penglibatan IRC dalam beberapa strategi PAS menyebabkan PAS
mengambil tindakan tegas memecat Mustafa Abdul Kader dan kemudiannya
Ustaz Alias Othman mengundur diri.
Pada bulan Mac 1990 satu perkembangan menarik berlaku dalam IRC. IRC
yang sudah tidak mendapat tempat dalam ABIM dan PAS mula mengorak
langkah drastik dengan mengusulkan supaya ahli Jamaah dibenarkan
memasuki UMNO.[16][16]
Usul itu dengarnya ditolak. IRC kembali seperti biasa tetapi retak
dalam IRC sudah semakin rancak. Sebenarnya retakan dalam fikrah IRC
pertama kalinya bermula di UK pada akhir tahun tujuh puluhan lagi
apabila ada kalangan yang ingin menubuhkan Suara Islam yang kemudian
dijelmakan sebagai "Parti Negara Islam" apabila kembali ke tanah air,
ada yang ingin masuk ke dalam ABIM dan PAS manakala ada yang ingin kekal
secara rahsia di Malaysia. Sudah mula tidak sepakat sejak dari peringkat itu lagi.
IRC, JIM dan IKRAM
Pada tahun 1991 sekali lagi IRC bergolak. Kali ini ada usul di kalangan
mereka untuk menzahirkan IRC di mata masyarakat dengan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM). Usul diterima majoriti dan Presiden JIM pertama adalah Abu ‘Urwah (Saari Sungip)[17][17]
sehingga tahun 1999 di mana Prof. Madya Dr. Mohd Hatta Shahrom (ketika
itu) mengambil tempat sebagai Presiden. Pada tahun 1999 juga ramai
pimpinan JIM menganggotai KeAdilan, di antaranya ialah Sahari Bahari
(bekas Naib Presiden JIM) yang menjadi EXCO Pemuda KeAdilan. Hj. Saari
Sungip menjadi calon KeAdilan dalam Pilihanraya 29 November 1999 tetapi
tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tetapi kini menjadi ADUN
PAS Hulu Kelang.
IRC sekali lagi bergolak pada tahun 2009 apabila
kepimpinannya yang berada dalam HIS mencadangkan penubuhan IKRAM pada 22
Oktober 2009. Mengikut kalangan tertentu IKRAM diwujudkan bagi
menggabungkan tenaga semua ikhwahnya yang pernah mendapat pendedahan tarbiyyah IRC di luar negara tetapi kini terlibat dalam pelbagai jemaah; ada yang dengan JIM, ada yang dengan ISMA[18][18] dan ada yang dengan HALUAN.[19][19] Demi menggabungkan semua kenalan seniors yang masing-masing membawa uslub yang berbeza, IKRAM dilahirkan.[20][20]
Namun JIM, HALUAN dan ISMA tetap berasingan. Pada Disember 2011,
dalam PPN JIM ke-21, Zaid Kamaruddin mengisytiharkan dalam Muktamar
berkenaan bahawa JIM akan dibubarkan dan diserapkan ke dalam IKRAM
sepenuhnya, yakni tanpa ISMA dan HALUAN.
Sebab utama pembubaran JIM, penubuhan IKRAM dan seumpamanya hanya diketahui oleh pimpinan yang duduk di dalam Tanzim IRC secara rahsia. JIM, IKRAM dan seumpamanya adalah wajihah (front organization) terbuka dalam masyarakat umum sebagaimana yang dirangkumkan dalam masterplan dan grand design
IRC sejak tahun 70-an lagi. Bahawa JIM, IKRAM adalah IRC dan daripada
kumpulan yang sama tidak dapat dinafikan lagi kerana dalam Muktamar JIM
yang terakhir baru-baru ini apabila Presiden JIM terakhir ada
menyebutkan bahawa....
"Ramai pengasas JIM merupakan bekas pelajar di luar negara."
"Kita
berhimpun membina Jamaah di kalangan umat Islam setempat bagi
menyempurnakan tanggungjawab bersama. Kemudian kita bina
jamaah yang menyatukan pelajar Islam dari Malaysia, IRC,
Islamic Representative Council pada bulan April 1974."
"Kita
kembali ke Malaysia pada pertengahan 1970-an. Terus
menggerakkan usaha dakwah dan tarbiah terutamanya di kampus-
kampus. JIM hanya ditubuhkan pada 27 Julai 1990......IKRAM
ditubuhkan pada 22 Oktober 2009."
Penutup
Demikianlah secara ringkas peranan yang dimainkan oleh IRC dalam medan
dakwah di Malaysia yang turut mengalami pasang surutnya. IRC sendiri
telah mengalami banyak perpecahan di kalangan ahli dan penyokongnya:
dari IRC kepada Suara Islam di UK dan berlanjutan hingga ke
Malaysia, kemudian menjadi IRC di Malaysia, memasuki ABIM dan PAS dan
bersendiri di bawah JIM. Mereka tubuhkan pula IKRAM pada tahun 2009 dan
pada bulan Disember 2011 ini membubarkan JIM dan berbondong-bondong
memasuki IKRAM pula. Esok-esok nanti entah apa pula……UMNO? Tidak
mustahil kerana kertas kerja asas sudah ada sejak awal 1990 lagi......
Demikianlah secara ringkas penglibatan IRC dalam medan dakwah di
Malaysia yang sempat kita bentangkan berdasarkan pengalaman bersama-sama
mereka untuk penilaian para pembaca. Kita tidak mengulas kesannya ke
atas PAS dan ABIM di sini kerana memberikan peluang kepada para pembaca
yang budiman membuatnya. Kita bentangkan fakta-fakta sahaja. Selamat
mengulas dan berikanlah ulasan yang berfakta dengan penuh adab
berdasarkan pengalaman masing-masing ....
Wallahu a’lam bissawab.
Akhukum fi'Llah,
Kamal Izzuddin Abdullah
[1][1]Ada
pelbagai pendapat tentang bagaimana nama IRC atau MSM ini mula
diperkenalkan. Pendapat yang diterima umum ialah kefahaman bahawa
mewujudkan sebuah gerakan Islam di luar negeri tidak praktikal kerana
medan sebenar adalah di Malaysia. Mereka tidak boleh tubuhkan gerakan
Islam di Malaysia kerana mereka masih belajar dan berada di luar
Malaysia. Akhirnya, solution terbaik adalah dengan mengadakan
sebuah "Syura" yang disepakati. Mereka tidak mahu bergabung dengan
badan-badan sedia ada di luar negara sebab tidak sealiran fikrah dengan
mereka.
[1][2]Zainah
Anwar yang buat pertama kalinya dalam sejarah IRC, telah berjaya
menemubual ramai pimpinan IRC dan menerbitkan kajian Ijazah Sarjana
Politiknya dalam bentuk sebuah buku kecil tetapi penuh makna berjudul, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, 1984.
[1][3]Zaid
Kamarudin dalam Ucapan Dasar perasmian Jemaah Islah Malaysia (JIM) pada
bulan Dismber 2011 telah dengan jelas menyatakan JIM mempunyai
pengalaman selama lebih 30 tahun bermula dari April 1974 di England
secara tak langsung mengaitkan JIM dengan IRC.
[1][4]Kita harus mengakui bahawa IRC berjaya menyusun manhaj usrah
yang sangat kemas dan amat pratikal digunakan di peringkat mahasiswa
universiti. Inilah yang menjadikan ia berjaya menarik semakin ramai
mahasiswa universiti pada akhir 70-an sehingga pertengahan 80-an. Asas
model tarbiyyah yang digunakan adalah berdasarkan al-Ikhwanul Muslimimun, Mesir.
[1][5]
Ini adalah ciri-ciri umum yang terdapat dalam sistem IRC. Memang tidak
dapat dinafikan bahawa IRC mampu mengumpul tenaga-tenaga du’at
yang sedemikian, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Itulah
kelebihan IRC. Dengan dokumen usrah yang tertib dan mantap, IRC berjaya
menambat hati para pelajar Malaysia di luar negara berbanding dengan
pengaruh ABIM dan PAS. Tenaga-tenaga profesionalnya yang gigih ditambah
dengan sokongan du'at dari Mesir dan Jordan yang berlatarbelakangkan
gerakan al-Ikhwanul Muslimun, ternyata IRC adalah satu force yang boleh membawa kesan yang agak besar di Malaysia.
[1][6]Pak
Ir. Imaduddin Abdul Rahim sangat berpengaruh di kalangan pelajar IRCdan
hal ini didedahkan sendiri oleh salah seorang senior bekas IRC, “Ayah
Hasan Firdaus” berjudul, Gerakan Islam – Satu Sejarah dan Pengalaman, Bandar Baru Bangi: Madrasah Muttaqin, 1989, hal. 4.
[1][7]Lihat Zainah Anwar, op. cit.
[1][8]Umpamanya sila lihat bahan-bahan Tamrin Pimpinan Winter Gathering IRC pada tahun 1982-1985 di UK.
[1][9]Dakwaan ini kuat kedengaran tetapi dinafikan sekers-kerasnya oleh pimpinan IRC apabila ditemui.
[1][10]Dakwaan
ini amat kuat kedengaran dari tahun pertengahan tahun 70-an sehingga
awal 80-an dan angin perubahan amat kuat bertiup di kampus-kampus
universiti tempatan. Mengikut sdr. Fauzi (bukan nama sebenar) yang
pernah memimpin pelajar pada hujung 70-an sehingga awal 80-an di sebuah
universiti tempatan, ditambah dengan faktor Anwar memasuki UMNO,
hujjah-hujjah IRC bahawa sistem tarbiyyah ABIM semakin gagal mendapat
tempat. Di UM, UKM, UTM, UPM dan ITM, ramai mahasiswa yang pro-ABIM mula
mendekati ustaz dan pensyarah yang pro-IRC. Bagaimanapun terdapat ramai
juga yang mendekati PAS sebagai alternatif kepada ABIM yang dilihat
menghampiri UMNO bahkan sudah ada gelarab untuk ABIM yang berbaik
dengan UMNO ketika itu – ABINO”!
[1][11]Perkara
ini tidak menjadi rahsia lagi kerana ia kini sudah menjadi makluman
umum. Sebahagian besar daripada mereka bergerak di dalam ABIM seperti
Ustaz Zawawi Ali (kini Dr.) dan Ustaz Darus Senawi. Bagaimanapun
pendirian Ustaz Alias Othman amat berlainan sekali. Beliau hanya pernah
dijemput menduduki Lujnah Tarbiyyah PAS Pusat atas jemputan Ustaz Abdul
Hadi Awang tetapi kemudiannya keluar kerana beberapa masalah yang
timbul antara PAS dengan IRC. PAS mendapati bahawa Ustaz Alias dan
kalangan lain dalam PAS hanya sebelah kaki sahaja manakala sebelah kaki
lagi masih kekal dalam IRC.
[1][12]Keputusan
ini adalah berdasarkan konsep “Harakiyyah Islamiyyah Syumuliyyah” (HIS)
IRC di mana IRC menganggap PAS dan ABIM adalah front organization yang boleh “IRC ketengahkan kepada masyarakat”. Perkara ini tercatat dalam dokumen blueprint IRC yang disedarkan dalam Summer dan Winter Gatherings
peringkat pimpinan Nuqaba' mereka yang diadakan secara tertutup di luar
negara. Maklumat-maklumat terperingkat ini mula dipecahkan oleh
kalangan bekas IRC yang kemudian menolak konsep IRC apabila mula
menyelami gerakan ABIM dan PAS apabila kembali ke tanah air. Nama-nama
mereka masih kita rahsiakan di peringkat ini atas sebab-sebab tertentu.
[1][13]
Sdr. Mustafa Abdul Kader mengakui bahawa beliau mempunyai ramai kawan
dalam IRC tetapi menafikan bahawa beliau masih duduk dalam tanzim IRC. Bagaimanpun akhirnya rahsia itu terbongkar juga.
[1][14]Ketika di UK sdr. Khalid Samad aktif dalam IRC tetapi kemudian broke off dan mengasaskan Suara Islam di UK. Khalid yang rebellious in nature
ini memang tidak berubah sejak zaman pelajarnya, dari "sebelum mengenal
Islam" sehingga kini dalam barisan kepimpinan PAS Pusat. Bacalah
temuramah menarik dengan beliau (atas nama samaran) dalam Zainah Anwar, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, 1984.
[1][15]Perkara
ini hampir tidak dapat dipercayai lebih-lebih lagi memikirkan bahawa
sepatutnya para pelajar jurusan agama di Timur Tengah membaca teks-teks
asal dalam bahasa Arab dan merujuk kepada guru-guru yang dipercayai.
[1][16]Dengan takdir Allah, kertas kerja berjudul “Usul Pendekatan Terhadap UMNO” bertarikh
28 Februari 1990 diperolehi dan pecah tembelang IRC kepada PAS. Kini
IRC ridak boleh berdolak dalih lagi malah berasa malu terhadap PAS.
Bagaimanapun masih terdapat ahli IRC yang cuba meyakinkan pimpinan PAS
bahawa usul itu dibawa sesetengah ahli IRC yang ingin berpolitik dan
tidak mewakili keseluruhan fikrah IRC. Kertas kerja ini masih dianggap
rahsia oleh IRC/JIM. Dalam pertemuan pimpinan PAS dengan pimpinan Ikhwan
di London pada tahun 1991, perkara ini telah diutarakan. Menurut wakil
Ikhwan, Syaikh Mustafa Masyhur dikatakan telah menulis surat peribadinya
kepada Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Syaikh Mustafa Masyhur mengatakan
pandangannya bahawa PAS mesti disokong oleh IRC di Malaysia dalam
pilihanraya dan dakwah. Malangnya surat yang dikirimkan melalui Prof.
Khurshid Ahmad dari London itu tidak sampai ke tangan PAS. Ia hilang
apabila berakhir ke tangan ABIM! PAS mengetahuinya melalui pertemuan
sulit dengan Dr. Azzam Tamimi (wakil Ikhwan dan Hamas UK) semasa
berkunjung di London. Dua orang yang tahu akan perkara ini kini berada
di barisan AJK PAS Pusat.
[1][17]Ironinya pula dalam tanzim
JIM ini, Ustaz Alias Othman yang terkenal sebagai pakar rujuk IRC sejak
pertengahan 70-an hingga tertubuhnya JIM, tidak menjadi Presiden JIM ,
tetapi hanya pernah memegang jawatan Timbalan Presiden JIM. Perkara ini
pernah ditanyakan kepadanya. Jawapannya: “strategi dalam dakwah, syaikh”.
[1][18]IRC
Mesir yang mendaftarkan diri sebagai NGO atas nama "Ikatan Muslimin
Malaysia (ISMA)." Kini ISMA turut dikembangkan di luar negara sebagai
ISMA Jordan, New Zealand, Eropah, Jepun, Korea, India.
[1][19]Merupakan
serpihan daripada IRC UK didaftarkan pada tahun 1988 sebagai sebuah NGO
atas nama "Petubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian
Tinggi Malaysia." Mempunyai perspektif yang sedikit berlainan daripada modus operandi JIM dan ISMA.
[1][20]Ada kalangan exIRC yang ditemui menyebut tidak mustahil pada masa akan datang, IKRAM akan menjadi political front
yang baru dalam perspektif dakwah di Malaysia. Menurut Ghazali (bukan
nama sebenar), penubuhan IKRAM itu sendiri selain daripada percubaan
untuk tujuan wehdah, ia juga berperanan sebagai NGO Islamik alternatif
kepada yang sedia ada dan barangkali akan mengikut langkah Parti PKS
Indonesia yang juga mempunyai persamaan ciri-cirinya dengan IKRAM yang
mengambil model al-Ikhwanul Muslimin. Asas manhaj tarbiyyah harakiyyah yang dipegang oleh kalangan pengasas seniors
IRC adalah model al-Ikhwan dan sebagaimana berlaku perpecahan dalam
fikrah al-Ikhwan sejak penubuhannhya oleh al-Imam asy-Syahid Hasan
al-Banna sehingga kini, begitulah yang berlaku kepada IRC sejak
penubuhannya pada tahun 1974 sehingga menjadi IKRAM, JIM, HALUAN dan
ISMA di Malaysia.
0 comments:
Post a Comment