MUKADIMAH — KONFLIK dalam
perkahwinan campur khususnya membabitkan lelaki Islam dengan wanita bukan Islam
khususnya wanita Barat nampaknya semakin ketara sejak akhir-akhir ini.Antara
implikasi paling menyayat hati ialah perebutan anak hasil perkongsian hidup
pasangan terbabit selepas bercerai.Kisah bapa yang terpaksa membawa ‘lari’
anaknya ke Malaysia daripada jagaan ibu mereka di negara Barat yang jauhnya
beribu-ribu kilometer bukan kisah baru dalam media massa tempatan.Boleh
dikatakan, pendapat umum di Malaysia dalam kes seumpama ini memihak kepada si
bapa yang lazimnya berkata mereka berbuat demikian untuk menyelamatkan akidah
anak-anak.Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan dan apakah iktibar
yang boleh diambil oleh individu Muslim yang berkahwin khususnya dengan wanita
Barat dalam kes serupa ini ?
Mendasari masalah ini, wartawan
Mingguan Malaysia, Ruhaidini Abd. Kadir meninjau pandangan Penolong Profesor,
Kulliyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Nik Rahim Nik
Wajis mengenai konflik rumah tangga yang mungkin boleh menular menjadi isu
diplomatik antara dua negara.PERKAHWINAN dari berlainan bangsa atau dikenali
juga dengan ‘kahwin campur’ bukanlah perkara yang asing dan pelik.Ia telah
berlaku saban waktu dalam masyarakat seluruh dunia dan tidak ketinggalan rakyat
negara kita yang merantau ke luar negara dan berkahwin dengan rakyat asing di
negara mereka atau rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat negara luar
yang datang ke negara kita.Perkara seperti ini sebenarnya diterima dan ia
selari serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang tidak membezakan di
antara bangsa dan warna kulit.Ini kerana perkahwinan ini telah memenuhi syarat
utama di dalam Islam iaitu pasangan tersebut mestilah beragama Islam.
Larangan hanya terdapat di dalam
perkahwinan dengan mereka yang bukan Islam. Di dalam al-Quran, Allah berfirman:
Janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehinggalah mereka beriman,
sesungguhnya seorang hamba yang mukmin itu lebih baik daripada wanita yang
musyrik meskipun kamu menyukainya.Berdasarkan ayat itu, larangan berkahwin
secara automatik terangkat apabila wanita tersebut memeluk Islam.Pada pandangan
saya, berkahwin campur tentunya ada kebaikannya namun tidak kurang juga ada
keburukannya apalagi jika perkahwinan itu di antara rakyat tempatan dengan
rakyat dari luar negara.Fokus perbincangan kita kali ini ialah tentang suami
dari rakyat tempatan yang mengahwini wanita dari bangsa asing.
Pada dasarnya Islam tidak
melarang perkahwinan seumpama ini jika sekiranya pasangan tersebut sudah
memeluk Islam.Di antara kebaikan perkahwinan campur pertamanya ialah pasangan
itu berpeluang untuk berkenalan di antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan
pasangannya bahkan seluruh keluarga yang terlibat dan ini bertepatan dengan
hikmah atau tujuan Allah mencipta manusia dari berbilang bangsa, puak dan
kaum.Namun di sini kadangkala akan timbul masalah khususnya bagi kita umat
Islam.
Jika pasangan tersebut dari
negara Barat contohnya, tentulah sukar bagi kita untuk menerima sesetengah adat
serta amalan yang mereka lakukan.Meminum arak, pergaulan bebas, berzina,
berjudi adalah di antara amalan yang sukar dihapuskan dan ini seolah-olah sudah
sebati di dalam kehidupan mereka bahkan ia boleh dikira sebagai sebahagian dari
hidup mereka.Bagaimana boleh kita pastikan bahawa isteri yang dikahwini adalah
suci kerana amalan seks bebas yang berleluasa di dalam masyarakat mereka.
Sebagai suami tentunya tidak
manis jika terus membelakangkan keluarga wanita yang dikahwini. Ini kerana,
meskipun wanita itu telah dikahwini, namun ibu bapa mereka tetap perlu
dihormati walaupun mereka tidak memeluk Islam.Satu lagi masalah yang mungkin
timbul berkaitan dengan adat istiadat dan saya melihat ini pasangan akan
mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan adat istiadat pasangan
mereka.Jika pasangan yang dilahirkan di negara Barat dan hidup pula di dalam
kemewahan, maka mungkin mereka agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan
kehidupan rakyat tempatan dan kadangkala ini juga boleh mendorong kepada
ketidaksefahaman dan akhirnya membawa kepada perceraian.
Kedua, selain peluang untuk
memahami dan mengamalkan adat resam serta budaya berbeza, faktor bahasa juga
dikira advantage kerana dengan berkahwin seseorang itu memiliki ‘kamus hidup’,
yang pasti akan membantu dalam menguasai sesuatu bahasa.Namun, di sini juga
masalah akan timbul. Masalah ini bukan di antara pasangan tersebut yang
pastinya boleh berkomunikasi dengan sesuatu bahasa, tetapi dengan keluarga
pasangan.
Bernasib baiklah jika ibu bapa
boleh memahami bahasa pasangan tersebut, jika tidak ia boleh menimbulkan
masalah dalam keluarga tersebut.Ketiga, di samping boleh berkenalan, memahami
budaya asing serta penguasaan bahasa yang berbeza, pasangan terbabit juga jika
bernasib baik berpeluang untuk memperolehi anak-anak yang mempunyai rupa yang
berbeza.Bagi kebanyakan orang, mempunyai anak serta cucu dari pelbagai rupa
tentunya menceriakan.Bayangkan jika di dalam satu keluarga, ada anak yang
rupanya orang Inggeris, ada wajahnya seperti Arab dan sebagainya. Tentunya ia
menjadi kebanggaan.
Keempat, perkahwinan campur
antara rakyat tempatan dengan orang luar dikira sebagai satu perjuangan dan
dakwah yang besar. Mereka boleh dikira sebagai penyelamat khususnya jika
pasangan tersebut sebelum berkahwin bukan seorang Muslim.Ini kerana mereka
telah berjaya meyakinkan pasangannya dengan agama yang sebenar iaitu Islam yang
telah mengubah hidup mereka dari kegelapan kepada cahaya Islam.Namun, perkara
yang perlu diberi perhatian serius di sini ialah tentang komitmen suami
terhadap isteri yang baru memeluk Islam.Isteri seharusnya diberi kefahaman
sebenar tentang Islam. Niat mereka perlu diperbetulkan.
Memeluk Islam bukan kerana ingin
berkahwin tetapi kerana keyakinan dan kebenaran Islam yang telah mula
dilihat.Keyakinan, keikhlasan di dalam memeluk Islam adalah amat penting bagi
menjamin seseorang yang memeluk Islam kekal berada di dalam agama yang suci
meskipun jodoh mereka kadangkala tidak kekal.Ramai yang memeluk Islam hanya
kerana cinta dan ingin berkahwin tetapi apabila berpisah lantas kembali kepada
agama asal.Suami di dalam hal ini perlu memainkan peranan mereka di dalam
mendidik isteri agar benar-benar faham akan agama Islam yang suci ini.Sememangnya
di dalam perkahwinan, perceraian adalah antara perkara yang lumrah berlaku.
Namun, perkara seperti ini perlulah dijauhi.
Amalan talak atau cerai adalah
satu amalan yang dibenci oleh Allah meskipun ia adalah harus pada hukum
syarak.Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “sebenci-benci perkara yang halal
di sisi Allah ialah talak’ menggambarkan kepada kita bahawa talak meskipun
harus, ianya bukan suatu yang boleh dijadikan mainan.Perceraian menimbulkan
banyak masalah bukan sahaja kepada suami tetapi memberi kesan yang sangat
dahsyat kepada anak-anak. Keadaan akan menjadi lebih rumit jika isteri berasal
dari luar negara.Menurut Seksyen 82, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah
Persekutuan, ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya semasa
masih di dalam perkahwinan dan selepas perceraian.
Namun persoalannya, adakah si
suami rela meninggalkan anaknya bersama ibu mereka di luar negara sedangkan si
suami tidak begitu yakin dengan akidah bekas isterinya ?Si isteri mungkin akan
kembali kepada agama asal dan anak-anak juga mungkin terikut-ikut dengan
fahaman ibu mereka dan di atas kebimbangan ini si bapa sanggup ‘melarikan’ atau
‘menculik’ anak sendiri untuk dibawa pulang ke tanah air.Jika si isteri telah
murtad, sememangnya jelas bahawa tindakan suami adalah tepat tetapi itu pun
selepas mahkamah memastikan bahawa segala bukti tentang dakwaan murtad adalah
benar.
Ini berdasarkan kepada Seksyen 83
yang menyebut bahawa hak penjagaan (hadanah) seorang wanita akan hilang apabila
wanita itu murtad dan kembali kepada agama asal mereka.Berdasarkan beberapa
peristiwa yang pernah menjadi berita utama di media massa tempatan, saya
melihat bahawa perkahwinan campur khususnya antara lelaki Islam Malaysia dengan
wanita Barat banyak menimbulkan masalah apabila berlaku perceraian.Lantaran
itu, saya berpendapat bahawa perkahwinan seperti ini jika boleh, hendaklah
dielakkan demi menjaga keharmonian hidup kita, anak-anak, keluarga, masyarakat
bahkan negara.
Ini kerana masih ramai wanita
tempatan yang mampu memberikan kebahagiaan kepada kita. Kenapa harus memilih
‘barangan import’ sedangkan ‘barangan tempatan’ lebih bermutu atau
setidak-tidaknya setaraf dengan ‘barangan import’.Namun, tidak dapat dinafikan
bahawa terdapat perkahwinan yang seumpama itu boleh bertahan selama-lamanya
tanpa sebarang masalah yang besar.Pokok pangkal adalah terletak kepada
keyakinan serta kesanggupan kita untuk menangani masalah yang berlaku dan tidak
mudah menggelabah di dalam menghadapi situasi yang mencabar.
* Dr.
Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA
dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.
Artikel
ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 08/03/1998
Dr Nik
Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd
(Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.
0 comments:
Post a Comment