Tuesday 26 August 2014

KEMERDEKAAN : SUATU REALITI ATAU FANTASI?



Bahang hari kemerdekaan kian terasa. Hari demi hari menantikan saat yang cukup bermakna, yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata, yang tidak boleh dizahirkan dengan pengorbanan pancaindera iaitu hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke -57 pada 31 Ogos nanti. Justeru itu, apakah kita sudah menghayati sedalam mungkin tentang erti sebuah kemerdekaan? Jawapannya anda sendiri yang lebih ma’ruf. Kemerdekaan merupakan impian semua manusia, sebagai contoh seorang hamba ingin merdeka dari tuannya, sebuah negara terjajah sudah pasti ingin mentadbir sendiri negaranya tanpa campur tangan kuasa asing. Jadi, bersyukurlah Negara kita sudah mencapainya dengan usaha yang tidak mengenal erti penat lelah dalam berjuang menuntut kemerdekaan. Alhamdulillah…

Kita tidak pernah melupakan segala perit jerih perjuangan yang telah dilalui oleh tokoh kemerdekaan terdahulu yang berjuang dari sudut harta, jiwa raga, ideologi dan pemikiran, melalui kerjasama politik  dan sebagainya demi mencapai suatu impian yang besar iaitu sebuah kemerdekaan. Rasa berterima kasih dan bangga kita tidak pernah luput sekalipun segala perjuangan mereka hanya tinggal sejarah. Sejarah itu bukan hanya untuk dikenang bahkan ianya suatu pelajaran yang akan berguna suatu masa nanti. Tokoh kemerdekaan yang berjuang sebagai contoh Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Hj Abdul Rahman Limbong dan banyak lagi merupakan pejuang yang tegas menentang penjajahan dan mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa dengan mempertaruhkan nyawa manakala tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan seangkatan dengan mereka memperjuangkan kemerdekaan dengan mata pena dan kebijaksanaan berhujah. Inilah sikap tokoh-tokoh kemerdekaan kita sewaktu masa dulu, apakah semangat seperti mereka ini masih wujud sehingga sekarang? 

Dek kemerdekaan yang telah dicapai sekian lama, hampir 57 tahun kita merasakan nikmat sebuah negara yang aman dari campur tangan kuasa asing dan penjajahan. Kita semakin alpa dan kita terus tenggelam dalam limpahan keamanan dan kemakmuran seolah-olah kita sudah merdeka dari segala aspek. Perasan atau tidak budaya melayu semakin terhakis sedikit demi sedikit. Adat dan isitiadat melayu semakin pudar dari lipatan sejarah yang terdahulu. Bahasa kebangsaan yang kita banggakan suatu ketika dahulu yang ditulis dalam tulisan jawi dan rumi semakin kurang digunakan oleh generasi sekarang. Agama Islam yang tercatat sebagai agama rasmi negara semakin hari semakin kurang diamalkan, sekalipun diamalkan penghayatan agama Islam hanya diguna pakai pada perkara tertentu sahaja. Inilah hakikat bangsa kita sekarang , memang tersurat dalam lipatan sejarah kita pernah dijajah dan kita telah berjaya mencapai kemerdekaan namun hakikatnya kita masih TERJAJAH. Apakah benar kita masih terjajah?

Jawapannya adalah YA. Anda dibenarkan untuk tidak bersetuju dengan pendapat saya jika saya katakan masyarakat atau bangsa kita sekarang ini telah dijajah oleh penjajahan ideologi dan pemikiran yang secara realitinya penjajahan ini lebih merbahaya daripada imperialisme barat yang telah berlaku kepada negara kita suatu ketika dahulu. Ini kerana penjajahan ini merupakan penjajahan secara dalaman yang menyusup masuk tanpa disangka dan penjajahan jenis ini tidak boleh didakwa hatta di mahkamah antarabangsa sekalipun. Antara bentuk penjajahanya adalah dengan menyuntik budaya hedonisme iaitu melampau dalam berhibur, masyarakat kita amat mudah terpengaruh dengan budaya  K-pop, Black metal, Punk dan banyak lagi. Penjajahan ini mampu merosakkan pemikiran anak muda kita dan sekaligus memberi suatu isyarat yang jelas bahawa masa depan negara kita bakal malap kerana anak muda sekaranglah yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan. 

Seterusnya, pihak yang merancang penjajahan ini juga mencuba sedaya upaya untuk menusukkan jiwa anak-anak muda kita dengan racun berbisa iaitu budaya liar seperti pengamalan seks bebas, budaya LGBT, dadah, gangster dan banyak lagi. Makanya, anak muda kita zaman sekarang ini semakin jauh dari budaya kita yang murni yang beralaskan agama dan adat isitiadat melayu, malah terus lalai dan bergembira dengan budaya barat yang bakal merosakkan mereka semua. Berbekalkan beberapa contoh utama ini, semoga kita dapat menyedari dan berubah kepada yang lebih baik.  Inilah hakikat kemerdekaan kita sekarang. Kita masih dibelenggu banyak penjajahan yang belum kita bebas, dan usaha yang sewajarnya perlu kita perkukuhkan. Antaranya, dengan mengenang kembali dan mempelajari semula ketokohan tokoh kemerdekaan kita supaya semangat berkobar-kobar mereka berpindah kepada diri kita dalam menghindari diri, keluarga, bangsa dan agama dari terpalit dengan penjajahan sebegini. 

Sebagai kesimpulan, kita sekarang ini masih berfantasi dengan merasakan kita sudah bebas daripada penjajahan dan kita sudah merdeka. Namun begitu, secara realitinya perjuangan kita masih belum selesai untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar. Ayuh, kita menuju merdeka yang sebenar!!!
 
“Disini Lahirnya Sebuah Cinta”
-ADMIN BUKU JALANAN MACHANG

0 comments:

Post a Comment