Tuesday 26 August 2014

KEMERDEKAAN : SUATU REALITI ATAU FANTASI?



Bahang hari kemerdekaan kian terasa. Hari demi hari menantikan saat yang cukup bermakna, yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata, yang tidak boleh dizahirkan dengan pengorbanan pancaindera iaitu hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke -57 pada 31 Ogos nanti. Justeru itu, apakah kita sudah menghayati sedalam mungkin tentang erti sebuah kemerdekaan? Jawapannya anda sendiri yang lebih ma’ruf. Kemerdekaan merupakan impian semua manusia, sebagai contoh seorang hamba ingin merdeka dari tuannya, sebuah negara terjajah sudah pasti ingin mentadbir sendiri negaranya tanpa campur tangan kuasa asing. Jadi, bersyukurlah Negara kita sudah mencapainya dengan usaha yang tidak mengenal erti penat lelah dalam berjuang menuntut kemerdekaan. Alhamdulillah…

Kita tidak pernah melupakan segala perit jerih perjuangan yang telah dilalui oleh tokoh kemerdekaan terdahulu yang berjuang dari sudut harta, jiwa raga, ideologi dan pemikiran, melalui kerjasama politik  dan sebagainya demi mencapai suatu impian yang besar iaitu sebuah kemerdekaan. Rasa berterima kasih dan bangga kita tidak pernah luput sekalipun segala perjuangan mereka hanya tinggal sejarah. Sejarah itu bukan hanya untuk dikenang bahkan ianya suatu pelajaran yang akan berguna suatu masa nanti. Tokoh kemerdekaan yang berjuang sebagai contoh Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Hj Abdul Rahman Limbong dan banyak lagi merupakan pejuang yang tegas menentang penjajahan dan mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa dengan mempertaruhkan nyawa manakala tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan seangkatan dengan mereka memperjuangkan kemerdekaan dengan mata pena dan kebijaksanaan berhujah. Inilah sikap tokoh-tokoh kemerdekaan kita sewaktu masa dulu, apakah semangat seperti mereka ini masih wujud sehingga sekarang? 

Dek kemerdekaan yang telah dicapai sekian lama, hampir 57 tahun kita merasakan nikmat sebuah negara yang aman dari campur tangan kuasa asing dan penjajahan. Kita semakin alpa dan kita terus tenggelam dalam limpahan keamanan dan kemakmuran seolah-olah kita sudah merdeka dari segala aspek. Perasan atau tidak budaya melayu semakin terhakis sedikit demi sedikit. Adat dan isitiadat melayu semakin pudar dari lipatan sejarah yang terdahulu. Bahasa kebangsaan yang kita banggakan suatu ketika dahulu yang ditulis dalam tulisan jawi dan rumi semakin kurang digunakan oleh generasi sekarang. Agama Islam yang tercatat sebagai agama rasmi negara semakin hari semakin kurang diamalkan, sekalipun diamalkan penghayatan agama Islam hanya diguna pakai pada perkara tertentu sahaja. Inilah hakikat bangsa kita sekarang , memang tersurat dalam lipatan sejarah kita pernah dijajah dan kita telah berjaya mencapai kemerdekaan namun hakikatnya kita masih TERJAJAH. Apakah benar kita masih terjajah?

Jawapannya adalah YA. Anda dibenarkan untuk tidak bersetuju dengan pendapat saya jika saya katakan masyarakat atau bangsa kita sekarang ini telah dijajah oleh penjajahan ideologi dan pemikiran yang secara realitinya penjajahan ini lebih merbahaya daripada imperialisme barat yang telah berlaku kepada negara kita suatu ketika dahulu. Ini kerana penjajahan ini merupakan penjajahan secara dalaman yang menyusup masuk tanpa disangka dan penjajahan jenis ini tidak boleh didakwa hatta di mahkamah antarabangsa sekalipun. Antara bentuk penjajahanya adalah dengan menyuntik budaya hedonisme iaitu melampau dalam berhibur, masyarakat kita amat mudah terpengaruh dengan budaya  K-pop, Black metal, Punk dan banyak lagi. Penjajahan ini mampu merosakkan pemikiran anak muda kita dan sekaligus memberi suatu isyarat yang jelas bahawa masa depan negara kita bakal malap kerana anak muda sekaranglah yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan. 

Seterusnya, pihak yang merancang penjajahan ini juga mencuba sedaya upaya untuk menusukkan jiwa anak-anak muda kita dengan racun berbisa iaitu budaya liar seperti pengamalan seks bebas, budaya LGBT, dadah, gangster dan banyak lagi. Makanya, anak muda kita zaman sekarang ini semakin jauh dari budaya kita yang murni yang beralaskan agama dan adat isitiadat melayu, malah terus lalai dan bergembira dengan budaya barat yang bakal merosakkan mereka semua. Berbekalkan beberapa contoh utama ini, semoga kita dapat menyedari dan berubah kepada yang lebih baik.  Inilah hakikat kemerdekaan kita sekarang. Kita masih dibelenggu banyak penjajahan yang belum kita bebas, dan usaha yang sewajarnya perlu kita perkukuhkan. Antaranya, dengan mengenang kembali dan mempelajari semula ketokohan tokoh kemerdekaan kita supaya semangat berkobar-kobar mereka berpindah kepada diri kita dalam menghindari diri, keluarga, bangsa dan agama dari terpalit dengan penjajahan sebegini. 

Sebagai kesimpulan, kita sekarang ini masih berfantasi dengan merasakan kita sudah bebas daripada penjajahan dan kita sudah merdeka. Namun begitu, secara realitinya perjuangan kita masih belum selesai untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar. Ayuh, kita menuju merdeka yang sebenar!!!
 
“Disini Lahirnya Sebuah Cinta”
-ADMIN BUKU JALANAN MACHANG

Sunday 6 October 2013

Sejarah Teori Kewujudan dan Tokohnya...
 
Tokoh bagi terapi kewujudan adalah Sidney Jourard, Abraham Maslow, Viktor Frankl, Irvin Yalom, Rollo May, dan Clement Vontrest. Mereka adalah ahli teori Amerika. Falsafah asas Kewujudan berasal dari Eropah. Tulisan-tulisan Soren Kierkegaard, Pyoder Dostoyeski, dan Viktor Frankl banyak mengandungi falsafah-falsafah Kewujudan, dan mereka ini dating dari Eropah.

Walau bagaimanapun, Rollo May dan Viktor Frankl adalah dua tokoh teori yang utama. Terapi Eksistensial yang juga dikenali sebagai Terapi Kewujudan berasal dari satu bentuk falsafah yang menekankan kebebasan individu. Kehidupan manusia tidak disekat oleh kuasa-kuasa yang tidak sedar, seperti mana yang diutarakan oleh Terapi Psikoanalitik ataupun oleh pelaziman-pelaziman yang dipelajari di dalam masyarakat seperti mana yang dianjurkan oleh Terapi Tingkah Laku. Malah, Terapi Kewujudan ini memberi maruah, penghormatan dan kedudukan kepada manusia sebagai unsur yang boleh memandu hidupnya sendiri.

Hasil daripada keyakinan dan kepercayaan seperti ini telah wujud terapi yang mirip kepada falsafah ini. Terapi Pemusatan Insan oleh Carl Rogers dan Terapi Gestalt oleh Perls yang memberi status dan keyakinan telah sedikit sebanyak dipengaruhi oleh falsafah Kewujudan. Oleh kerana falsafah ini begitu sejagat sifatnya, maka Terapi Kewujudan yang terhasil juga mempunyai asas-asas dan pengaruh yang berbeza. Menyedari akan wujudnya perbezaan-perbezaan di antara teori-teori yang diutarakan serta sifat-sifat umum yang terdapat di dalam pandangan pelopor-pelopor teori ini, maka satu keputusan telah diambil untuk menghuraikan teori ini yang diutarakan oleh Rollo May, sebagai satu pendekatan yang berteraskan falsafah kewujudan.



Rollo May


Beliau telah dilahirkan pada tahun 1909 di Ada, Ohio. Beliau merupakan anak kedua dari enam orang adik beradik dan anak lelaki yang tertua di kalangan keluarganya. Bapa May bekerja di Young Men’s Christian Association (YMCA) dan inilah yang telah menggalakkan May untuk memepelajari disiplin diri melalui aktiviti renang. Hubungan beliau dengan keluarganya tidak begitu erat dan beliau membayangkan kehidupan di rumah adalah tidak membahagiakan. Akibatnya, beliau berubah menjadi seorang pendiam dan pemberontak semasa beliau remaja (Rabinowitz, Good & Cozad, 1989).

Pada tahun 1930, beliau Berjaya mendapat ijazah dalam bahasa Inggeris dari Oberlin College dan diterima untuk mengajar dalam bidang tersebut di Anatolia College di Greece. Semasa cuti semester, beliau telah bercuti dan melancong ke Vienna dan beliau telah mendaftarkan diri di seminar yang telah dikendalikan oleh Alfred Adler di mana kemudiannya beliau berminat dalam bidang psikoanalisis. Selama beliau tinggal di Greece, beliau lebih gemar bersendirian dan bekerja secara berterusan. Ini menyebabkan keputusan peperiksaan beliau gagal di mana beliau terpaksa mengulang setahun lagi.

Pada tahun 1933, beliau telah kembali ke Amerika Syarikat untuk memasuki Union Theological Seminary. Disinilah beliau kuat dipengaruhi oleh Paul Tillich seorang ahli teologi kewujudan. Selepas itu, beliau mempunyai kerjaya yang cemerlang sebagai seorang Menteri Keagamaan. May telah mengambil keputusan untuk menyambung ijazah dalam bidang Psiokologi Klinikal dari Universiti Columbia. Tetapi, beliau telah diserang penyakit batuk kering. Ini menyebabkan beliau terpaksa ditahan di Sanitarium selama dua tahun.
Semasa dalam proses rawatan, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca dan mempelajari buku yang ditulis oleh seorang ahli teori kewujudan, Soren Kierkegaard. Selepas beliau sembuh, May telah menyambung dan menamatkan pelajaran dalam bidang kedoktoran di Columbia pada tahun 1949. Beliau telah menyertai fakulti William Allanson White Institute di New York.

Beliau telah muncul sebagai seorang yang boleh menyatakan tentang Terapi Kewujudan yang difikirkan boleh diaplikasikan dalam psikoterapi di Eropah. Beliau juga telah menulis dua buah buku iaitu Love and Will (1969) iaitu bukunya yang paling popular dan The Courage To Create  ( 1975). Pada tahun 1980-an, beliau telah bersara. Beliau meninggal dunia pada 22 Oktober 1994, ketika berusia 85 tahun.








Viktor Frankl

Beliau telah dilahirkan pada tahun 1905 di Venna Australia. Beliau menerima ijazah dalam bidang perubatan pada tahun 1930 dan ijazah kedoktorannya pada tahun 1949 daripada Universiti Vienna. Beliau telah menubuhkan Youth Advicement Centre di Vienna pada tahun 1928 hingga 1938. Beliau juga memiliki beberapa buah hospital dan klinik pada sekitar tahun 1930 dan 1942.

Walaupun beliau adalah pelajar Freud, tetapi beliau begitu meminati Teori Kewujudan yang diperkenalkan pada tahun 1930-an apabila beliau membaca buku falsafah seperti Heidegger. Beliau mula mewujudkan formula dan idea tentang Teori Kewujudan (logotherapy) dalam kaunseling pada tahun 1938. Menurut bahasa Greek perkataan logo bermaksud mencari makna.

Semasa Perang Dunia Kedua (1942-1945), beliau telah dipenjarakan oleh nazi di Kem Auschwitz dan Dachau dan ahli keluarganya termasuk abang, isteri dan anak-anaknya telah mati. Di Kem inilah beliau memikirkan tentang makna kehidupan dan bagaimana seksanya tinggal di kem tersebut. Berkat keazaman inilah beliau mendapatkan kepercayaan untuk meneruskan kehidupan.

Pada tahun 1940-an, beliau telah berkahwin dengan Ellenonara dan menetap di Australia. Pada tahun 1947, beliau telah menyertai fakulti Universiti Vienna dan akhirnya menjadi ahli United States International Universiti of San Diego. Beliau telah mengembara ke seluruh dunia dan telah memberi ceramah di Eropah, Amerika Latin, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat. Selain itu, beliau juga merupakan professor pelawat di Universiti Harvard, Universiti Stanford dan Universiti Southern Medthodist. Beliau juga telah bekerja untuk mengalih bahasa lebih kurang 20 buah buku dan menyambung pengajian dalam bidang perkembangan Terapi Kewujudan. Beliau telah menulis buku Man’s Search For Meaning (1962) yang merupakan antara buku paling terkenal di dunia dan The Will To Meaning (1969).




 Viktor Frankl
 
Source:
 http://terapikewujudan.blogspot.com/

Saturday 5 October 2013

PERMASALAHAN KAHWIN CAMPUR



MUKADIMAH — KONFLIK dalam perkahwinan campur khususnya membabitkan lelaki Islam dengan wanita bukan Islam khususnya wanita Barat nampaknya semakin ketara sejak akhir-akhir ini.Antara implikasi paling menyayat hati ialah perebutan anak hasil perkongsian hidup pasangan terbabit selepas bercerai.Kisah bapa yang terpaksa membawa ‘lari’ anaknya ke Malaysia daripada jagaan ibu mereka di negara Barat yang jauhnya beribu-ribu kilometer bukan kisah baru dalam media massa tempatan.Boleh dikatakan, pendapat umum di Malaysia dalam kes seumpama ini memihak kepada si bapa yang lazimnya berkata mereka berbuat demikian untuk menyelamatkan akidah anak-anak.Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan dan apakah iktibar yang boleh diambil oleh individu Muslim yang berkahwin khususnya dengan wanita Barat dalam kes serupa ini ?

Mendasari masalah ini, wartawan Mingguan Malaysia, Ruhaidini Abd. Kadir meninjau pandangan Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Nik Rahim Nik Wajis mengenai konflik rumah tangga yang mungkin boleh menular menjadi isu diplomatik antara dua negara.PERKAHWINAN dari berlainan bangsa atau dikenali juga dengan ‘kahwin campur’ bukanlah perkara yang asing dan pelik.Ia telah berlaku saban waktu dalam masyarakat seluruh dunia dan tidak ketinggalan rakyat negara kita yang merantau ke luar negara dan berkahwin dengan rakyat asing di negara mereka atau rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat negara luar yang datang ke negara kita.Perkara seperti ini sebenarnya diterima dan ia selari serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang tidak membezakan di antara bangsa dan warna kulit.Ini kerana perkahwinan ini telah memenuhi syarat utama di dalam Islam iaitu pasangan tersebut mestilah beragama Islam.

Larangan hanya terdapat di dalam perkahwinan dengan mereka yang bukan Islam. Di dalam al-Quran, Allah berfirman: Janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehinggalah mereka beriman, sesungguhnya seorang hamba yang mukmin itu lebih baik daripada wanita yang musyrik meskipun kamu menyukainya.Berdasarkan ayat itu, larangan berkahwin secara automatik terangkat apabila wanita tersebut memeluk Islam.Pada pandangan saya, berkahwin campur tentunya ada kebaikannya namun tidak kurang juga ada keburukannya apalagi jika perkahwinan itu di antara rakyat tempatan dengan rakyat dari luar negara.Fokus perbincangan kita kali ini ialah tentang suami dari rakyat tempatan yang mengahwini wanita dari bangsa asing. 

Pada dasarnya Islam tidak melarang perkahwinan seumpama ini jika sekiranya pasangan tersebut sudah memeluk Islam.Di antara kebaikan perkahwinan campur pertamanya ialah pasangan itu berpeluang untuk berkenalan di antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan pasangannya bahkan seluruh keluarga yang terlibat dan ini bertepatan dengan hikmah atau tujuan Allah mencipta manusia dari berbilang bangsa, puak dan kaum.Namun di sini kadangkala akan timbul masalah khususnya bagi kita umat Islam.

Jika pasangan tersebut dari negara Barat contohnya, tentulah sukar bagi kita untuk menerima sesetengah adat serta amalan yang mereka lakukan.Meminum arak, pergaulan bebas, berzina, berjudi adalah di antara amalan yang sukar dihapuskan dan ini seolah-olah sudah sebati di dalam kehidupan mereka bahkan ia boleh dikira sebagai sebahagian dari hidup mereka.Bagaimana boleh kita pastikan bahawa isteri yang dikahwini adalah suci kerana amalan seks bebas yang berleluasa di dalam masyarakat mereka.

Sebagai suami tentunya tidak manis jika terus membelakangkan keluarga wanita yang dikahwini. Ini kerana, meskipun wanita itu telah dikahwini, namun ibu bapa mereka tetap perlu dihormati walaupun mereka tidak memeluk Islam.Satu lagi masalah yang mungkin timbul berkaitan dengan adat istiadat dan saya melihat ini pasangan akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan adat istiadat pasangan mereka.Jika pasangan yang dilahirkan di negara Barat dan hidup pula di dalam kemewahan, maka mungkin mereka agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan rakyat tempatan dan kadangkala ini juga boleh mendorong kepada ketidaksefahaman dan akhirnya membawa kepada perceraian.

Kedua, selain peluang untuk memahami dan mengamalkan adat resam serta budaya berbeza, faktor bahasa juga dikira advantage kerana dengan berkahwin seseorang itu memiliki ‘kamus hidup’, yang pasti akan membantu dalam menguasai sesuatu bahasa.Namun, di sini juga masalah akan timbul. Masalah ini bukan di antara pasangan tersebut yang pastinya boleh berkomunikasi dengan sesuatu bahasa, tetapi dengan keluarga pasangan.

Bernasib baiklah jika ibu bapa boleh memahami bahasa pasangan tersebut, jika tidak ia boleh menimbulkan masalah dalam keluarga tersebut.Ketiga, di samping boleh berkenalan, memahami budaya asing serta penguasaan bahasa yang berbeza, pasangan terbabit juga jika bernasib baik berpeluang untuk memperolehi anak-anak yang mempunyai rupa yang berbeza.Bagi kebanyakan orang, mempunyai anak serta cucu dari pelbagai rupa tentunya menceriakan.Bayangkan jika di dalam satu keluarga, ada anak yang rupanya orang Inggeris, ada wajahnya seperti Arab dan sebagainya. Tentunya ia menjadi kebanggaan.

Keempat, perkahwinan campur antara rakyat tempatan dengan orang luar dikira sebagai satu perjuangan dan dakwah yang besar. Mereka boleh dikira sebagai penyelamat khususnya jika pasangan tersebut sebelum berkahwin bukan seorang Muslim.Ini kerana mereka telah berjaya meyakinkan pasangannya dengan agama yang sebenar iaitu Islam yang telah mengubah hidup mereka dari kegelapan kepada cahaya Islam.Namun, perkara yang perlu diberi perhatian serius di sini ialah tentang komitmen suami terhadap isteri yang baru memeluk Islam.Isteri seharusnya diberi kefahaman sebenar tentang Islam. Niat mereka perlu diperbetulkan. 

Memeluk Islam bukan kerana ingin berkahwin tetapi kerana keyakinan dan kebenaran Islam yang telah mula dilihat.Keyakinan, keikhlasan di dalam memeluk Islam adalah amat penting bagi menjamin seseorang yang memeluk Islam kekal berada di dalam agama yang suci meskipun jodoh mereka kadangkala tidak kekal.Ramai yang memeluk Islam hanya kerana cinta dan ingin berkahwin tetapi apabila berpisah lantas kembali kepada agama asal.Suami di dalam hal ini perlu memainkan peranan mereka di dalam mendidik isteri agar benar-benar faham akan agama Islam yang suci ini.Sememangnya di dalam perkahwinan, perceraian adalah antara perkara yang lumrah berlaku. Namun, perkara seperti ini perlulah dijauhi. 

Amalan talak atau cerai adalah satu amalan yang dibenci oleh Allah meskipun ia adalah harus pada hukum syarak.Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “sebenci-benci perkara yang halal di sisi Allah ialah talak’ menggambarkan kepada kita bahawa talak meskipun harus, ianya bukan suatu yang boleh dijadikan mainan.Perceraian menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada suami tetapi memberi kesan yang sangat dahsyat kepada anak-anak. Keadaan akan menjadi lebih rumit jika isteri berasal dari luar negara.Menurut Seksyen 82, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya semasa masih di dalam perkahwinan dan selepas perceraian.

Namun persoalannya, adakah si suami rela meninggalkan anaknya bersama ibu mereka di luar negara sedangkan si suami tidak begitu yakin dengan akidah bekas isterinya ?Si isteri mungkin akan kembali kepada agama asal dan anak-anak juga mungkin terikut-ikut dengan fahaman ibu mereka dan di atas kebimbangan ini si bapa sanggup ‘melarikan’ atau ‘menculik’ anak sendiri untuk dibawa pulang ke tanah air.Jika si isteri telah murtad, sememangnya jelas bahawa tindakan suami adalah tepat tetapi itu pun selepas mahkamah memastikan bahawa segala bukti tentang dakwaan murtad adalah benar.

Ini berdasarkan kepada Seksyen 83 yang menyebut bahawa hak penjagaan (hadanah) seorang wanita akan hilang apabila wanita itu murtad dan kembali kepada agama asal mereka.Berdasarkan beberapa peristiwa yang pernah menjadi berita utama di media massa tempatan, saya melihat bahawa perkahwinan campur khususnya antara lelaki Islam Malaysia dengan wanita Barat banyak menimbulkan masalah apabila berlaku perceraian.Lantaran itu, saya berpendapat bahawa perkahwinan seperti ini jika boleh, hendaklah dielakkan demi menjaga keharmonian hidup kita, anak-anak, keluarga, masyarakat bahkan negara. 

Ini kerana masih ramai wanita tempatan yang mampu memberikan kebahagiaan kepada kita. Kenapa harus memilih ‘barangan import’ sedangkan ‘barangan tempatan’ lebih bermutu atau setidak-tidaknya setaraf dengan ‘barangan import’.Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat perkahwinan yang seumpama itu boleh bertahan selama-lamanya tanpa sebarang masalah yang besar.Pokok pangkal adalah terletak kepada keyakinan serta kesanggupan kita untuk menangani masalah yang berlaku dan tidak mudah menggelabah di dalam menghadapi situasi yang mencabar.

Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.
Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 08/03/1998
Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.

Sunday 2 December 2012

TAZKIRAH SUBUH YANG TAK TERLAKSANA

 


 

 
Assalamualaikum kawan2, ambillah waktu sekejap untuk baca post ini ^^
ayuh kita bermuhasabah diri bersama-sama. Insya-Allah bermanfaat .

Menurut Al-Quran dan hadis, nafsu dikategorikan kepada tujuh peringkat :-


1. Nafsu Ammarah
* Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Malah, si pemilik nafsu ini akan berasa bangga dengan kejahatannya.

2. Nafsu Lawwamah
* Mengetahui dengan ilmunya bahawa perbuatan jahat dan dosa itu salah tetapi masih melakukan perbuatan tersebut. Namun, setelah itu, dia menyesal di atas perbuatan jahatnya.

3. Nafsu Mulhamah
* Jiwanya banyak terkumpul dengan sifat-sifat baik akan tetapi jiwanya memerlukan kesabaran, tabah dalam bermujahadah dan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah SWT.

4. Nafsu Mutmainnah
* Nafsu yang tenang dan tenteram ketika mengingati Allah SWT. Jiwanya sentiasa merindui Allah dan sentiasa dekat dengan-Nya.

5. Nafsu Radhiah
* Jiwa yang reda terhadap Allah dan sentiasa dalam keadaan selamat sejahtera kerana mereka puas dengan nikmat kurniaan Allah SWT.

6. Nafsu Mardhiah
* Jiwanya sentiasa mendapat keredaan Allah. Bukti keredaan-Nya dapat dilihat melalui akhlak yang mulia dan mempunyai sifat ikhlas dalam amalannya.

7. Nafsu Kamilah
* Jiwa yang sempurna, jiwanya berada di peringkat tinggi dan sempurna serta memiliki sifat-sifat yang baik.

Nafsu kita berada di peringkat yang mana? Jika berada di peringkat yang baik, maka baiklah peribadi kita, begitu juga sebaliknya. Nafsu yang baik perlu dipertahankan tetapi nafsu yang jahat perlu ditentang habis-habisan! Apabila nafsu dapat dikalahkan, iman turut dapat disuburkan.

Usah Mengalah!

Wahai sekalian manusia, usah mengalah dalam bermujahadah. Jangan mengatakan payah, kerana kita semua ada Allah.

Teruskanlah bermujahadah dan bersangka baiklah dengan Allah. Allah Maha Menilai setiap usaha yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Kadangkala, kita rasa teruji dan diuji kerana Allah mahu melihat tahap kesabaran kita dalam menempuh dugaan yang diberikan oleh-Nya. Allah mahu melihat sejauh mana kita mengharapkan pergantungan daripada-Nya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW, telah bersabda, "Berfirman Allah Azzawajalla :

"Aku berkuasa untuk melakukan apa yang hamba-Ku sangkakan terhadapku. Dan Aku berserta dengannya ketika dia menyebut-Ku (berzikir kepada-Ku.)'"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

'Marilah bermujahadah,
Itu bukanlah sesuatu yang mudah,
Maka, berdoalah! Merintihlah!
Agar diri tidak kalah mahupun lelah.
Bertakwalah kepada Allah,
Supaya iman tidak menjadi lemah,
Inilah jalan mujahadah yang indah,
Usahlah mengeluh walaupun payah!
'