Bahang hari kemerdekaan kian terasa. Hari demi
hari menantikan saat yang cukup bermakna, yang tidak boleh diungkapkan dengan
kata-kata, yang tidak boleh dizahirkan dengan pengorbanan pancaindera iaitu
hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke -57 pada 31 Ogos nanti. Justeru itu,
apakah kita sudah menghayati sedalam mungkin tentang erti sebuah kemerdekaan?
Jawapannya anda sendiri yang lebih ma’ruf. Kemerdekaan merupakan impian semua manusia,
sebagai contoh seorang hamba ingin merdeka dari tuannya, sebuah negara terjajah
sudah pasti ingin mentadbir sendiri negaranya tanpa campur tangan kuasa asing.
Jadi, bersyukurlah Negara kita sudah mencapainya dengan usaha yang tidak
mengenal erti penat lelah dalam berjuang menuntut kemerdekaan. Alhamdulillah…
Kita tidak pernah melupakan segala perit jerih
perjuangan yang telah dilalui oleh tokoh kemerdekaan terdahulu yang berjuang
dari sudut harta, jiwa raga, ideologi dan pemikiran, melalui kerjasama politik dan sebagainya demi mencapai suatu impian
yang besar iaitu sebuah kemerdekaan. Rasa berterima kasih dan bangga kita tidak
pernah luput sekalipun segala perjuangan mereka hanya tinggal sejarah. Sejarah
itu bukan hanya untuk dikenang bahkan ianya suatu pelajaran yang akan berguna
suatu masa nanti. Tokoh kemerdekaan yang berjuang sebagai contoh Tok Janggut,
Dato’ Bahaman, Hj Abdul Rahman Limbong dan banyak lagi merupakan pejuang yang
tegas menentang penjajahan dan mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa
dengan mempertaruhkan nyawa manakala tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan
Cheng Lock dan seangkatan dengan mereka memperjuangkan kemerdekaan dengan mata
pena dan kebijaksanaan berhujah. Inilah sikap tokoh-tokoh kemerdekaan kita
sewaktu masa dulu, apakah semangat seperti mereka ini masih wujud sehingga
sekarang?
Dek kemerdekaan yang telah dicapai sekian lama,
hampir 57 tahun kita merasakan nikmat sebuah negara yang aman dari campur
tangan kuasa asing dan penjajahan. Kita semakin alpa dan kita terus tenggelam
dalam limpahan keamanan dan kemakmuran seolah-olah kita sudah merdeka dari
segala aspek. Perasan atau tidak budaya melayu semakin terhakis sedikit demi
sedikit. Adat dan isitiadat melayu semakin pudar dari lipatan sejarah yang
terdahulu. Bahasa kebangsaan yang kita banggakan suatu ketika dahulu yang
ditulis dalam tulisan jawi dan rumi semakin kurang digunakan oleh generasi
sekarang. Agama Islam yang tercatat sebagai agama rasmi negara semakin hari
semakin kurang diamalkan, sekalipun diamalkan penghayatan agama Islam hanya
diguna pakai pada perkara tertentu sahaja. Inilah hakikat bangsa kita sekarang
, memang tersurat dalam lipatan sejarah kita pernah dijajah dan kita telah
berjaya mencapai kemerdekaan namun hakikatnya kita masih TERJAJAH. Apakah benar
kita masih terjajah?
Jawapannya adalah YA. Anda dibenarkan untuk tidak
bersetuju dengan pendapat saya jika saya katakan masyarakat atau bangsa kita
sekarang ini telah dijajah oleh penjajahan ideologi dan pemikiran yang secara
realitinya penjajahan ini lebih merbahaya daripada imperialisme barat yang
telah berlaku kepada negara kita suatu ketika dahulu. Ini kerana penjajahan ini
merupakan penjajahan secara dalaman yang menyusup masuk tanpa disangka dan
penjajahan jenis ini tidak boleh didakwa hatta di mahkamah antarabangsa
sekalipun. Antara bentuk penjajahanya adalah dengan menyuntik budaya hedonisme
iaitu melampau dalam berhibur, masyarakat kita amat mudah terpengaruh
dengan budaya K-pop, Black metal, Punk
dan banyak lagi. Penjajahan ini mampu merosakkan pemikiran anak muda kita dan
sekaligus memberi suatu isyarat yang jelas bahawa masa depan negara kita bakal
malap kerana anak muda sekaranglah yang akan mengambil alih tampuk
pemerintahan.
Seterusnya, pihak yang merancang penjajahan ini
juga mencuba sedaya upaya untuk menusukkan jiwa anak-anak muda kita dengan
racun berbisa iaitu budaya liar seperti pengamalan seks bebas, budaya LGBT,
dadah, gangster dan banyak lagi. Makanya, anak muda kita zaman sekarang ini
semakin jauh dari budaya kita yang murni yang beralaskan agama dan adat
isitiadat melayu, malah terus lalai dan bergembira dengan budaya barat yang
bakal merosakkan mereka semua. Berbekalkan beberapa contoh utama ini, semoga
kita dapat menyedari dan berubah kepada yang lebih baik. Inilah hakikat kemerdekaan kita sekarang.
Kita masih dibelenggu banyak penjajahan yang belum kita bebas, dan usaha yang
sewajarnya perlu kita perkukuhkan. Antaranya, dengan mengenang kembali dan
mempelajari semula ketokohan tokoh kemerdekaan kita supaya semangat berkobar-kobar
mereka berpindah kepada diri kita dalam menghindari diri, keluarga, bangsa dan
agama dari terpalit dengan penjajahan sebegini.
Sebagai kesimpulan, kita sekarang ini masih
berfantasi dengan merasakan kita sudah bebas daripada penjajahan dan kita sudah
merdeka. Namun begitu, secara realitinya perjuangan kita masih belum selesai
untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar. Ayuh, kita menuju merdeka yang
sebenar!!!
“Disini
Lahirnya Sebuah Cinta”
-ADMIN
BUKU JALANAN MACHANG