Saturday, 16 June 2012

Apakah Cabaran Yang Di hadapi Oleh Pemimpin Harakah Islamiyah Hari Ini, Di mana Sahaja Mereka Berada Di dunia Ini?



Tentunya cabaran terlalu banyak dan terlalu besar di antaranya adalah berikut :
1) Kejahilan umat Islam tentang ajaran agamanya, mestilah diakui bahawa umat Islam yang paling ramai berada dalam kejahilan mutlak yakni tidak memahami bahkan ada yang tidak berapa betul membaca dan menulis di dunia ini, mereka dalam keadaan miskin dalam semua segi-Miskin harta, miskin ilmu, miskin bacaan dan miskin pengetahuan.
2) Jikalau kita tumpukan ke negara kita Malaysia, kita dapati masih ramai orang Islam yang bersembahyang sekalipun, tidak faham apa yang mereka baca di dalam sembahyang.
3) PAS sebagai harakah dakwiyah ( دَعْوِيَة ) mesti berusaha bersungguh-sungguh supaya umat Islam di negara kita benar-benar memahami dan melepasi tahap tidak faham apa yang di baca dalam sembahyang.
4) Semua yang menjadi anggota jamaah mestilah ditarbiyahkan supaya  ke tahap boleh mendakwah orang bukan ahli, supaya semua orang Islam mengenali Islam sebab :
 بَلّغُوا عَنّي وَلَو آيَة ) متفق عليه)
Ertinya : Wajib ke atas setiap individu menyampaikan daripadaku walaupun satu ayat

5) Pejabat, markaz, musolla, surau atau cawangan-cawangan hendaklah mengadakan sembahyang jamaah dan mengadakan kegiatan kemasyarakatan. Untuk tujuan inilah maka di dalam panduan Usrah kita, kita menitikberatkan tajwid al-Quran.
6) Cuba menghayati : أقيموا دولة الإسلام في نفوسكم في حزبكم ستقم على أرضكم- إن شاء الله
7) Di sana ada cabaran yang baru hasil daripada keputusan pilihanraya umum yang ke-12 pada tahun 2008 yang membawa kemenangan tahalluf PAS dengan PKR dan DAP yang menghasilkan kemenangan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang kita dapat lihat bahawa orang-orang Cina dan India menampakkan kesediaan mereka untuk mendengar pandangan-pandangan terhadap suara Islam yang dibawa oleh PAS.
Saya mengambil peluang ini untuk merayu kepada dewan ulama’ PAS dan ulama’-ulama’ yang terasa bertanggungjawab sebagai ulama’ Islam memikirkan :
Ø Menjelaskan apa maksud (لا إكراه في الدين)
Ø Kedudukan orang bukan Islam di bawah Negara Islam
(التعايش السلمي في الدولة الإسلامية  )
Ø Dan konsep keadilan yang mutlak dalam Islam kepada semua orang yang berada dalam Negara Islam
Ø Menjadikan perjanjian penduduk al-Madinah yang terdiri daripada orang Arab Islam, Yahudi, Nasrani dan lain-lain agama di bawah ميثاق المدينة yang diiklankan oleh Rasulullah s.a.w yang wajib bagi penduduk Madinah semuanya wajib mempertahankan Negara Islam yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w dan arahan-arahan Abu Bakar dan Umar al-Khattab yang memastikan rakyat Negara Islam dilindungi seperti dilindungi serupa dengan kedudukan orang Islam.
Ø Apabila kita terima hakikat bahawa Qiyadah dalam harakah Islam ia adalah laksana Amir bagi pihak Rasulullah s.a.w. Seharusnya kita menerima tugas Rasulullah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-Jumaat ayat ke-2 :
( هُوَ الذي بَعَثَ في الأُمِّيّينَ رَسُولاً مِّنهُم يَتْلُوا عَلَيْهِم آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتَابَ وَالحِكْمَة )
Yakni tugas Rasulullah s.a.w dan tugas ulama’ Islam yang menjadi penyambung kepada tugas Rasulullah s.a.w  yang :

1) Mengajar kepada rakyat beragama Islam ayat-ayat al-Quran melalui         yang dibaca, yang dilihat, yang di fikir oleh kita.

2) Dan wajib mentazkiah mereka yakni membersihkan mereka daripada syirik, nifaq, ujub, takabbur, angkuh dan lain-lain penyakit dalaman dan luaran sehingga mereka benar-benar bersih dan mengajar kepada mereka al-Quranul Karim, tajwidnya, maknanya, arahannya, larangannya dan kebijaksanaan (الحكمة  ) ataupun hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang mengandungi apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Wednesday, 13 June 2012

PERSOALAN YANG SELALU BERMAIN DI FIKIRAN AKHIRNYA TERJAWAB JUA...



       

IRC DAN PENGLIBATAN DAKWAH DI MALAYSIA - SATU CATATAN RINGKAS


Sejarah Penubuhannya           

            Islamic Representative Council (IRC) atau dalam bahasa Melayunya, Majlis Syura Muslimin (MSM)[1][1]  adalah satu kumpulan dakwah di kalangan para pelajar Malaysia yang ditubuhkan di United Kingdom (UK) pada awal tahun 70-an, bergerak cergas sehingga ke hari ini.[2][2]  Ada pendapat yang mengatakan ianya diasaskan di Brighton, England oleh para pelajar Malaysia yang dihantar ke sana atas biasiswa Kerajaan Perskutuan.[3][3] Gerakan IRC amat rahsia sifatnya. Sistem yang diamalkan di dalam IRC amat rigid, tetapi berdisiplin tinggi, mempunyai manhaj tarbiyyah usrah yang tersusun lengkap dengan sukatan dan peringkatnya,[4][4]  amat menekankan aspek tarbiyyah di kalangan ahli, dikawal sepenuhnya oleh naqib dan pimpinannya, bergerak secara yang amat halus dan teliti dan rata-ratanya dianggotai oleh kalangan intelektual yang “bijak dari segi pencapaian akademiknya”.[5][5]


            Menurut seorang pengkaji sosial, IRC pada mulanya dipimpin oleh barisan intelektual dan pelopor gerakan Islam di Indonesia yang secara kebetulan juga belajar di UK terutamanya  Ir. Imaduddin Abdul Rahim[6][6] yang mendapat pendedahan gerakan Islam dari Ikhwanul Muslimin, Mesir dan Jami’at Islami, Pakistan.[7][7]  Pada awal tahun 70-an, Kerajaan Malaysia melaksanakan program memberikan biasiswa kepada ramai pelajar lepasan MCE/SPM dan HSC/STP untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. UK adalah destinasi yang  favourite di kalangan Malaysians. Di Malaysia sendiri, Institut  Teknologi Kebangsaan – ITK (kini Universiti Teknologi Malaysia – UTM) menjadi base kepada IRC apabila graduan yang telah belajar di UK itu (kebanyakannya mengambil jurusan kejuruteraan, sains gunaan dan berkaitan), pulang sebagai pensyarah dan mengajar di ITK. Hubungan ITK dengan Institut Teknologi Bandung (ITB) di Indonesia menjadi akrab.

            Demikianlah, semakin tahun semakin ramai pelajar Malaysia dihantar ke luar negara, semakin meluas fikrah IRC mula tersebar UK, Australia, di Amerika Syarikat (umpamanya di Terra Houte, Houston yang  merupakan “Kampung Malaysia” di Amerika!) malah di Mesir dan Jordan. Pimpinan-pimpinan tertinggi al-ikhwan (‘Alami) sering berkunjung ke UK, USA, Australia, Mesir dan Jordan dan para pelajar Malaysia didedahkan secara langsung kepada pengalaman mereka dalam dakwah.[8][8]  Semua ini adalah pengalaman yang amat baru bagi pelajar kita di luar negeri. Berbanding dengan rakan-rakan mereka yang menuntut di dalam universiti tempatan yang hanya mendapat tarbiyyah daripada kalangan ustaz-ustaz tempatan, peluang berjumpa, berbincang dan bergaul dengan barisan pimpinan al-Ikhwan dan Jami’at Islami dirasakan amat luar biasa dan memberikan kekuatan baru kepada para pelajar Malaysia. IRC sering menyebut bahawa kini mereka  “mempunyai pakar rujuk yang benar-benar harakiyyah sifatnya” malah adalah yang tidak segan-segan mengatakan bahawa “mereka telah diterima masuk oleh Ikhwan ke dalam Tanzim ‘Alami”.[9][9]

IRC, ABIM dan PAS di Malaysia

             Bagaimanapun di Malaysia sudah wujud Gerakan Islam bernama ABIM di peringkat persatuan bukan politik dan PAS sebagai parti politik. Semua pimpinan IRC ketika itu seperti Prof. Abang Abdullah, Zaid Kamaruddin, Mustafa Abdul Kader, Abdul Jalil Hassan, Azman Hussin, Ariffin (Said?), Ahmad Tarmidzi, Dzulkifli Muhammad, Saari Sungip (Abu ‘Urwah), Dr. Abdul Rahim Gouse, Dr. Mohd Hatta Shahrom dan sebagainya amat memahami bahawa mewujudkan satu Jamaah lagi di Malaysia apabila mereka pulang adalah tidak syar’iyy dari segi prinsip jamaah Islam malah bertentangan dengan kaedah gerakan Islam. Hendak duduk di dalam ABIM, mereka tidak sebulu dan sehaluan. Untuk melibatkan diri dalam politik, tarbiyyah  dan fikrah mereka menghalang mereka daripada berbuat demikian, lagipun seperti yang sering mereka  hujjahkan  ketika itu: “PAS tidak mempunyai tarbiyyah dan ustaz-ustaz dalam PAS tidak mendapat tarbiyyah harakiyyah daripada kalangan al-Ikhwan Mesir dan oleh itu, memasuki siasah apatah lagi PAS, adalah “tidak betul” dan PAS perlu dijauhi”.[10][10]

            Pada awal 80-an IRC mengambil sikap “tidak menterjemahkan identiti diri” mereka di dalam masyarakat. Namun usrah-usrah IRC wujud terutama di kampus-kampus universiti tempatan secara sulit dan rahsia. Ketika itu sudah ramai tenaga IRC pulang ke tanah air selaku pensyarah terutama di UM, UKM, UPM, ITM dan UTM. Manakala terdapat juga beberapa orang tenaga ustaz yang mendapat didikan di Mesir yang memberikan sumbangan tertutup kepada mahasiswa kampus seperti Ustaz Darus Senawi di UM, Ustaz Zawawi Ali di Kolej Islam Kelang, Ustaz Alias Othman di UM, Ustaz Kamil Abdul Majid di UM dan sebagainya.[11][11]

            Dalam perbincangan-perbincangan tertutup di peringkat tertinggi IRC, rupa-rupanya ada usaha-usaha sulit untuk membenarkan figure-figure IRC tertentu untuk memasuki medan dakwah secara terbuka terutama PAS.[12][12] Maka saudara Mustafa Abdul Kader yang bergerak aktif  dalam Pemuda dan PAS Shah Alam dan Selangor menjadi test case IRC yang pertama. Ketika itu, ABIM sudah tidak mendapat tempat dan PAS menjadi tumpuan. Mustafa Abdul Kader diberi kepercayaan  sehingga menduduki EXCO Pemuda PAS Pusat dan juga EXCO PAS Selangor. Kemudian lebih ramai bekas IRC”[13][13] memasuki PAS termasuklah YB Khalid Samad[14][14] yang kemudiannnya diikuti oleh lainnya, yang paling menonjol kini ada YB Dr. Dzulkifli Ahmad (Abu Iman), AJK PAS Pusat.  Sumbangan bekas IRC dalam PAS memang ada kesannya. Pimpinan PAS terutamanya Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang sangat terbuka dalam kes IRC masuk PAS. Pintu PAS dibuka seluas-luasnya kepada mereka. Kritikan orang-orang IRC di luar dan  dalam negara diterima baik oleh PAS dalam rangkaian semangat “IRC menegur kita untuk sama-sama membina PAS” dan kini “keluarga Jamaah Islam semakin luas”.

            Bagaimanapun pada tahun 1985 sudah kedengaran suara-suara dari kalangan Pemuda PAS bahawa anggota IRC dalam PAS “bawa fikrah IRC dalam PAS dan secara diam-diam mengutuk PAS di luar”. Semakin banyak bukti diperolehi untuk dikemukakan kepada Dewan ‘Ulamak dan Dewan Harian PAS bahawa barangkali masanya sudah tiba bagi PAS untuk mengkaji sejauh mana peranan bekas IRC dalam PAS. Pertembungan terbuka mula berlaku. Tetapi di peringkat pimpinan tertinggi PAS  Pusat,  masih tiada apa masalah. Malah, Ustaz Abdul Hadi Awang  (kini YB Tuan Guru Dato' Seri) menulis kata pengantar siri buku Risalah Usrah oleh Abu ‘Urwah (YB Saari Sungip). Buku yang dianggap teks utama usrah IRC itu menjadi bahan usrah utama  di dalam kampus-kampus sehinggakan terdengar cerita buku yang sama digunakan juga oleh para mahasiswa Malaysia di Universiti al-Azhar dan universiti lain di Timur Tengah![15][15]

            Suatu ketika dulu, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Dr. Abdul Aziz Hanafi adalah di antara pimpinan PAS yang bermati-matian mempertahankan IRC dalam PAS manakala Ustaz Nakhaie dan Ustaz Harun Taib di antara yang paling kuat menentang fikrah IRC ketika itu. Satu perkara yang menarik ialah pimpinan tertinggi PAS masih memberikan ruang kepada IRC sehinggalah PAS Shah Alam mengemukakan dokumen-dokumen penting membuktikan penglibatan IRC dalam beberapa strategi PAS menyebabkan PAS mengambil tindakan tegas memecat Mustafa Abdul Kader dan kemudiannya Ustaz Alias Othman mengundur diri.


            Pada bulan Mac 1990 satu perkembangan menarik berlaku dalam IRC. IRC yang sudah tidak mendapat tempat dalam ABIM dan PAS mula mengorak langkah  drastik dengan mengusulkan supaya ahli Jamaah dibenarkan memasuki UMNO.[16][16] Usul itu dengarnya ditolak. IRC kembali seperti biasa tetapi retak dalam IRC sudah semakin rancak.  Sebenarnya retakan dalam fikrah IRC pertama kalinya bermula di UK pada akhir tahun tujuh puluhan lagi apabila ada kalangan yang ingin menubuhkan Suara Islam yang kemudian dijelmakan sebagai  "Parti Negara Islam" apabila kembali ke tanah air, ada yang ingin masuk ke dalam ABIM dan PAS manakala ada yang ingin kekal secara rahsia di Malaysia. Sudah mula tidak sepakat sejak dari peringkat itu lagi.

        
IRC, JIM dan IKRAM

            Pada tahun 1991 sekali lagi IRC bergolak. Kali ini ada usul di kalangan mereka untuk menzahirkan IRC di mata masyarakat dengan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM). Usul diterima majoriti dan Presiden JIM pertama adalah Abu ‘Urwah (Saari Sungip)[17][17] sehingga tahun 1999 di mana Prof. Madya Dr. Mohd Hatta Shahrom (ketika itu) mengambil tempat sebagai Presiden. Pada tahun 1999 juga ramai pimpinan JIM menganggotai KeAdilan, di antaranya ialah Sahari Bahari (bekas Naib Presiden JIM) yang menjadi EXCO Pemuda KeAdilan. Hj. Saari Sungip menjadi calon KeAdilan dalam Pilihanraya 29 November 1999 tetapi tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tetapi kini menjadi ADUN PAS Hulu Kelang.

                    IRC sekali lagi bergolak pada tahun 2009 apabila kepimpinannya yang berada dalam HIS mencadangkan penubuhan IKRAM pada 22 Oktober 2009.  Mengikut kalangan tertentu IKRAM diwujudkan bagi menggabungkan tenaga semua ikhwahnya yang pernah mendapat pendedahan tarbiyyah IRC di luar negara tetapi   kini terlibat dalam pelbagai jemaah; ada yang dengan JIM, ada yang dengan ISMA[18][18] dan ada yang dengan HALUAN.[19][19]  Demi menggabungkan semua kenalan seniors yang masing-masing membawa uslub yang berbeza, IKRAM dilahirkan.[20][20]  Namun JIM, HALUAN dan ISMA tetap berasingan.  Pada  Disember 2011, dalam  PPN JIM ke-21, Zaid Kamaruddin mengisytiharkan dalam Muktamar berkenaan  bahawa JIM akan dibubarkan dan diserapkan ke dalam IKRAM sepenuhnya, yakni tanpa ISMA dan HALUAN.   

            Sebab utama pembubaran JIM, penubuhan IKRAM dan seumpamanya hanya diketahui oleh pimpinan yang duduk di dalam Tanzim IRC secara rahsia.  JIM, IKRAM dan seumpamanya adalah wajihah (front organization) terbuka dalam masyarakat umum sebagaimana yang dirangkumkan dalam masterplan dan grand design IRC sejak tahun 70-an lagi.  Bahawa JIM, IKRAM adalah IRC dan daripada kumpulan yang sama tidak dapat dinafikan lagi kerana dalam Muktamar JIM yang terakhir baru-baru ini apabila Presiden JIM terakhir ada menyebutkan bahawa....  

             "Ramai pengasas JIM merupakan bekas pelajar di luar negara."
 
            "Kita berhimpun membina Jamaah di kalangan umat Islam setempat bagi             menyempurnakan tanggungjawab bersama. Kemudian kita bina jamaah             yang menyatukan pelajar Islam dari Malaysia, IRC, Islamic Representative      Council pada bulan April 1974."
 
            "Kita kembali ke Malaysia pada pertengahan 1970-an.  Terus        menggerakkan         usaha dakwah dan tarbiah terutamanya di kampus- kampus.    JIM   hanya  ditubuhkan         pada 27 Julai 1990......IKRAM       ditubuhkan pada 22 Oktober 2009."
 
Penutup
 
            Demikianlah secara ringkas peranan yang dimainkan oleh IRC dalam medan dakwah di Malaysia yang turut mengalami pasang surutnya. IRC sendiri telah mengalami banyak perpecahan di kalangan ahli dan penyokongnya: dari IRC kepada Suara Islam di UK dan berlanjutan hingga ke Malaysia, kemudian menjadi IRC di Malaysia, memasuki ABIM dan PAS dan bersendiri di bawah JIM. Mereka tubuhkan pula IKRAM pada tahun 2009 dan pada bulan Disember 2011 ini membubarkan JIM dan berbondong-bondong memasuki IKRAM pula.   Esok-esok nanti entah apa pula……UMNO?  Tidak mustahil kerana kertas kerja asas sudah ada sejak awal 1990 lagi......
 
            Demikianlah secara ringkas penglibatan IRC dalam medan dakwah di Malaysia yang sempat kita bentangkan berdasarkan pengalaman bersama-sama mereka untuk penilaian para pembaca.  Kita tidak mengulas kesannya ke atas PAS dan ABIM di sini kerana memberikan peluang kepada para pembaca yang budiman membuatnya.  Kita bentangkan fakta-fakta sahaja.  Selamat mengulas dan berikanlah ulasan yang berfakta dengan penuh adab berdasarkan pengalaman masing-masing ....
 
            Wallahu a’lam bissawab.

 Akhukum fi'Llah,
 
Kamal Izzuddin Abdullah

 
[1][1]Ada pelbagai pendapat tentang bagaimana nama IRC atau MSM ini mula diperkenalkan. Pendapat yang diterima umum ialah kefahaman bahawa mewujudkan sebuah gerakan Islam di luar negeri tidak praktikal kerana medan sebenar adalah di Malaysia.  Mereka tidak boleh tubuhkan gerakan Islam di Malaysia kerana mereka masih belajar dan berada di luar Malaysia.  Akhirnya, solution terbaik adalah dengan mengadakan sebuah "Syura" yang disepakati.  Mereka tidak mahu bergabung dengan badan-badan sedia ada di luar negara sebab tidak sealiran fikrah dengan mereka.
[1][2]Zainah Anwar yang buat pertama kalinya dalam sejarah IRC, telah berjaya menemubual ramai pimpinan IRC dan menerbitkan kajian Ijazah Sarjana Politiknya dalam bentuk sebuah buku kecil tetapi penuh  makna berjudul, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, 1984.
                [1][3]Zaid Kamarudin dalam Ucapan Dasar perasmian Jemaah Islah Malaysia (JIM) pada bulan Dismber 2011 telah dengan jelas menyatakan JIM mempunyai pengalaman selama lebih 30 tahun bermula dari April 1974 di England secara tak langsung mengaitkan JIM dengan IRC. 
[1][4]Kita harus mengakui bahawa IRC berjaya menyusun manhaj usrah yang sangat kemas dan amat pratikal digunakan di peringkat mahasiswa universiti. Inilah yang menjadikan ia berjaya menarik semakin ramai mahasiswa universiti pada akhir 70-an sehingga pertengahan 80-an. Asas model tarbiyyah yang digunakan adalah berdasarkan al-Ikhwanul Muslimimun, Mesir.
[1][5] Ini adalah ciri-ciri umum yang terdapat dalam sistem IRC. Memang tidak dapat dinafikan  bahawa IRC mampu mengumpul tenaga-tenaga du’at yang sedemikian, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Itulah kelebihan  IRC. Dengan dokumen usrah yang tertib dan mantap, IRC berjaya menambat hati para pelajar Malaysia di luar negara berbanding dengan pengaruh ABIM dan PAS.  Tenaga-tenaga profesionalnya yang gigih ditambah dengan sokongan du'at dari Mesir dan Jordan yang berlatarbelakangkan gerakan al-Ikhwanul Muslimun, ternyata IRC adalah satu force yang boleh membawa kesan yang agak besar di Malaysia.
[1][6]Pak Ir. Imaduddin Abdul Rahim sangat berpengaruh di kalangan pelajar IRCdan hal ini didedahkan sendiri oleh salah seorang senior bekas IRC, “Ayah Hasan Firdaus” berjudul, Gerakan Islam – Satu Sejarah dan Pengalaman, Bandar Baru Bangi: Madrasah Muttaqin, 1989, hal. 4.
[1][7]Lihat Zainah Anwar, op. cit.
[1][8]Umpamanya sila lihat bahan-bahan Tamrin Pimpinan Winter Gathering IRC  pada tahun 1982-1985 di UK.
[1][9]Dakwaan ini kuat kedengaran tetapi dinafikan sekers-kerasnya oleh pimpinan IRC apabila ditemui.
[1][10]Dakwaan ini amat kuat kedengaran dari tahun pertengahan tahun 70-an sehingga awal 80-an dan angin perubahan amat kuat bertiup di kampus-kampus universiti tempatan. Mengikut sdr. Fauzi (bukan nama sebenar) yang pernah memimpin pelajar pada hujung 70-an sehingga awal 80-an di sebuah  universiti tempatan, ditambah dengan faktor Anwar memasuki UMNO, hujjah-hujjah IRC bahawa sistem tarbiyyah ABIM semakin gagal mendapat tempat. Di UM, UKM, UTM, UPM dan ITM, ramai mahasiswa yang pro-ABIM mula mendekati ustaz dan pensyarah yang pro-IRC. Bagaimanapun terdapat ramai juga yang mendekati PAS sebagai alternatif kepada ABIM yang dilihat menghampiri  UMNO bahkan sudah ada gelarab untuk ABIM yang berbaik dengan UMNO ketika itu – ABINO”!
[1][11]Perkara ini tidak menjadi rahsia lagi kerana ia kini  sudah menjadi makluman umum. Sebahagian besar daripada mereka bergerak di dalam ABIM seperti Ustaz Zawawi Ali (kini Dr.) dan Ustaz Darus Senawi. Bagaimanapun pendirian Ustaz Alias Othman amat berlainan sekali. Beliau hanya pernah dijemput menduduki Lujnah Tarbiyyah PAS Pusat atas jemputan Ustaz Abdul Hadi Awang tetapi kemudiannya keluar  kerana beberapa masalah yang timbul antara PAS dengan IRC. PAS mendapati bahawa Ustaz Alias dan kalangan lain dalam PAS hanya sebelah kaki sahaja manakala sebelah kaki lagi masih kekal dalam IRC.
[1][12]Keputusan ini adalah berdasarkan konsep “Harakiyyah Islamiyyah Syumuliyyah” (HIS) IRC di mana IRC menganggap PAS dan ABIM adalah front organization yang boleh “IRC ketengahkan kepada  masyarakat”. Perkara ini tercatat dalam dokumen blueprint IRC yang disedarkan dalam Summer dan Winter Gatherings peringkat pimpinan Nuqaba' mereka yang diadakan secara tertutup di luar negara.  Maklumat-maklumat terperingkat ini mula dipecahkan oleh kalangan bekas IRC yang kemudian menolak konsep IRC apabila mula menyelami gerakan ABIM dan PAS apabila kembali ke tanah air.  Nama-nama mereka masih kita rahsiakan di peringkat ini atas sebab-sebab tertentu.
[1][13] Sdr. Mustafa Abdul Kader mengakui bahawa beliau mempunyai ramai kawan dalam IRC tetapi menafikan bahawa beliau masih duduk dalam tanzim IRC. Bagaimanpun akhirnya rahsia itu terbongkar juga.
[1][14]Ketika di UK sdr. Khalid Samad aktif dalam IRC tetapi kemudian broke off  dan mengasaskan Suara Islam di UK.  Khalid yang rebellious in nature ini memang tidak berubah sejak zaman pelajarnya, dari "sebelum mengenal Islam" sehingga kini dalam barisan kepimpinan PAS Pusat.  Bacalah temuramah menarik dengan beliau (atas nama samaran) dalam Zainah Anwar, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, 1984.

[1][15]Perkara ini hampir tidak dapat dipercayai lebih-lebih lagi memikirkan bahawa sepatutnya para pelajar jurusan agama di Timur Tengah membaca teks-teks asal dalam bahasa Arab dan merujuk kepada guru-guru yang dipercayai.
[1][16]Dengan takdir Allah, kertas kerja berjudul “Usul Pendekatan Terhadap UMNO” bertarikh 28 Februari 1990 diperolehi dan pecah tembelang IRC kepada PAS. Kini IRC ridak boleh berdolak dalih lagi malah berasa malu terhadap PAS. Bagaimanapun masih terdapat ahli IRC yang cuba meyakinkan pimpinan PAS bahawa usul itu dibawa sesetengah ahli IRC yang ingin berpolitik dan tidak mewakili keseluruhan fikrah IRC. Kertas kerja ini masih dianggap rahsia oleh IRC/JIM. Dalam pertemuan pimpinan PAS dengan pimpinan Ikhwan di London pada tahun 1991, perkara ini telah diutarakan. Menurut wakil Ikhwan, Syaikh Mustafa Masyhur dikatakan telah menulis surat peribadinya kepada Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Syaikh Mustafa Masyhur  mengatakan pandangannya bahawa PAS mesti disokong oleh IRC di Malaysia  dalam pilihanraya dan dakwah. Malangnya surat yang dikirimkan melalui Prof. Khurshid Ahmad dari London itu tidak sampai ke tangan PAS. Ia hilang apabila berakhir ke tangan ABIM! PAS mengetahuinya melalui pertemuan sulit dengan Dr. Azzam Tamimi (wakil Ikhwan dan Hamas UK) semasa berkunjung di London.  Dua orang yang tahu akan perkara ini kini berada di barisan AJK PAS Pusat.
[1][17]Ironinya pula dalam tanzim JIM ini, Ustaz Alias Othman yang terkenal sebagai pakar rujuk IRC sejak pertengahan 70-an hingga tertubuhnya JIM, tidak menjadi Presiden JIM , tetapi hanya pernah memegang jawatan Timbalan Presiden JIM. Perkara ini pernah ditanyakan kepadanya. Jawapannya:  “strategi dalam dakwah, syaikh”. 
                [1][18]IRC Mesir yang mendaftarkan diri sebagai NGO atas nama "Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)." Kini ISMA turut dikembangkan di luar negara sebagai ISMA Jordan, New Zealand, Eropah, Jepun, Korea, India.
                [1][19]Merupakan serpihan daripada IRC UK didaftarkan pada tahun 1988 sebagai sebuah NGO atas nama "Petubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia."  Mempunyai perspektif yang sedikit berlainan daripada modus operandi JIM dan ISMA.
                [1][20]Ada kalangan exIRC yang ditemui menyebut tidak mustahil pada masa akan datang, IKRAM akan menjadi political front yang baru dalam perspektif dakwah di Malaysia. Menurut Ghazali (bukan nama sebenar),  penubuhan IKRAM itu sendiri selain daripada percubaan untuk tujuan wehdah, ia juga berperanan sebagai NGO Islamik alternatif kepada yang sedia ada dan barangkali akan mengikut langkah Parti PKS Indonesia yang juga mempunyai persamaan ciri-cirinya dengan IKRAM yang mengambil model al-Ikhwanul Muslimin.  Asas manhaj tarbiyyah harakiyyah yang dipegang oleh kalangan pengasas  seniors IRC adalah model al-Ikhwan dan sebagaimana berlaku perpecahan dalam fikrah al-Ikhwan sejak penubuhannhya oleh al-Imam  asy-Syahid Hasan al-Banna sehingga kini, begitulah yang berlaku kepada IRC sejak penubuhannya pada tahun 1974 sehingga menjadi IKRAM, JIM, HALUAN dan ISMA di Malaysia.

Thursday, 10 May 2012

Bersih 4.0: Duduk ramai-ramai bantah, baca Yaasin...


Bersih 3.0 atau Duduk Bantah pada 28 April sudah berlalu. Biarlah apa pun mereka nak kata, kita memang telah berjaya. 250 ribu atau 300 ribu yang hadir, yang pastinya rakyat telah bangkit. Rakyat tidak boleh diugut atau ditakut-takutkan lagi. Beberapa orang kawan yang baru pertama kali hadir telah tertanya-tanya bila pula akan ada Bersih 4.0?


Pengalaman menghidu gas pemedih mata yang memang pedih itu telah bertukar menjadi suatu nikmat yang dinanti-nantikan lagi. Pengalaman berjumpa kawan-kawan baru pula, memang menyeronokkan, terasa keikhlasannya sewaktu bercerita, tak terasa pun perbezaan kaum.
Hingga ada yang berkata: Eh, kalau tiap-tiap bulan buat begini, bagus 'kan? Sebulan sekali Kuala Lumpur menjadi bandar tempat rakyat Malaysia dari pelbagai keturunan dan pelbagai golongan dan pelbagai peringkat bertemu dan bermesra. Aduhai! Pelancong pun mesti suka.
Inilah yang orang-orang di 'sebelah sana' itu tidak faham, dan tak akan faham. Mereka tak akan tergambarkan bagaimanakah perhimpunan yang tidak terjamin keselamatannya itu, ditembak gas dan disembur polis dan dibelasah dan sebagainya itu, menjadi sesuatu yang menyeronokkan, yang nikmat dan ditunggu-tunggu lagi. Mereka takkan faham.
Hanya orang-orang yang memahami betapa zalimnya kerajaan Umno-BN sekarang sahaja yang mungkin memahaminya. Betapa orang tidak sabar dan tak boleh tahan lagi melihat konco-konco bangsawan Umno-BN itu menipu dan merompak hak dan harta rakyat. Itulah yang membangkitkan rakyat. Dan dari semangat kebangkitan itulah lahirnya nikmat, walaupun dalam kepedihan.
Duduk di tengah-tengah terik matahari di atas jalan raya di depan menara Maybank dan persimpangan Pudu itu, peluh menitik dari dahi tak terasa pun panasnya. Bayangkan! Dan tiba-tiba ada orang memulakan Selawat Nabi. Yang lain pun mengikut beramai-ramai. Bergema. Padahal di kiri kanan itu ramai kawan-kawan Cina.
Kata sahabat saya. Waktu kita bertakbir, ada juga kawan Cina yang turut bertakbir sama. Aduhai. Apakah ini kalau bukan nikmat suatu kebangkitan!
Waktu itulah saya terfikir, kalaulah ada Bersih 4.0 nanti, dan kehadirannya makin bertambah ramailah tentunya -- cubalah bayangkan kalau kita semua yang muslim membawa surat Yasin dan kita duduk ramai-ramai membaca Yasin. Ya Allah! Bayangkanlah. Menggema surah Yasin dibaca. Dan dengan berkat ayat-ayat Allah itu kita memohon agar kemungkaran dikalahkan dan yang hak dimenangkan.
Kalaulah itu boleh dilakukan, barangkali perhimpunan itu akan menjadi lebih berkesan. Akan ada orang yang dengan sendirinya akan berasa gentar dengan kemungkinan kesannya sekiranya dia di pihak yang mungkar. Dan mungkin ... beberapa kemungkinan lagi, anda fikirkanlah.
Sejak petang 28 April itu saya menerima beberapa SMS yang mengemukakan cadangan begitu dan begini, supaya Bersih 4.0 diadakan pula, kerana mereka percaya pimpinan Najib-Rosmah tidak akan berlembut dan mendengar tuntutan Bersih 3.0 itu.
"Sementara rakyat menunjukkan tanda-tanda kebangkitan yang semakin ramai ini, kita mesti sambutnya dengan gerakan yang lebih tegas. Jangan biarkan Umno-BN menang dengan undi-undi dari pendatang asing itu. Kita mesti buat sesuatu yang berkesan. Rakyat sedang bangkit sekarang."
Dan macam-macam lagi cadangan mereka. Ada yang mencadangkan supaya duduk berkhemah beberapa hari, seperti yang dibuat oleh para mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka menuntut dihapuskan PTPTN itu.
Tak tahulah saya. Ada kemungkinankah itu boleh dilakukan? Berapa ramai yang sanggup duduk berkhemah dan bermalam hingga beberapa hari, dengan risiko akan ditangkap dan dibelasah oleh pihak polis?
"Mahasiswa itu boleh lakukan, kenapa orang dewasa tak boleh lakukan? Apakah semangat perjuangan mahasiswa itu lebih kental daripada semangat perjuangan orang dewasa?" Tanya seorang anak muda kepada saya.
Jawab saya, "Kenapa mahasiswa itu tidak mahu tampil memimpin? Kalau semangat perjuangan mereka lebih kental, tidak salah untuk mereka tampil mengambil teraju pimpinan."
Ya, apa pun, Bersih 3.0 sudah pun berlalu. Sejauh manakah tuntutannya akan didengar oleh pihak berkuasa, kita belum pasti. Atau sejauh manakah peristiwa 28 April itu akan memberi tekanan kepada pimpinan Najib-Rosmah, pun kita belum tahu.
Yang kita tahu, sekiranya pilihanraya umum diadakan dalam waktu terdekat, kemungkinan Umno-BN akan terus mengekalkan kuasanya melalui undi-undi pendatang asing yang diberi IC itu, memang ada.
Makanya, bagaimana?
Saya bukan orang politik dan bukan aktivis politik. Saya lebih memahami seni-budaya daripada politik. Maka eloklah saya tak usah mencuba memberi pandangan terhadap strategi politik yang perlu dibuat.
 Namun kalau pimpinan Ambiga dan A Samad Said nak buat Bersih 4.0 dalam waktu terdekat, saya fikir orang akan lebih ramai turun. Kuala Lumpur akan berpesta lagi. Dan kali ini kita akan gemakan surah Yasin pula.
Dan kalau ada kumpulan mahasiswa yang nak berkhemah pula untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil -- wah, itu memang hebat!
Tapi sementara itu saya seperti tak sabar nak baca puisi-puisi yang menyertai sayembara menulis puisi Bersih 3.0. Pasti banyak yang menarik!
(Eh, ada orang beritahu Najib tersasul-sasul tak dapat sebut wabillaahi tafiq walhidayah di akhir suatu ucapannya yang disiar langsung di televisyen. Apa hal tu? Betul ke?).

Thursday, 1 March 2012

AMAL ISLAMI , AMAL JAMAI’E DAN AMAL IJTIMAI’E.





PENDAHULUAN

Mafhum firman Allah Taala dalam surah Az-zariyat : ayat 56 yang bermaksud:
“Dan tidak Kuciptakan jin dan manusia itu melainkan hanyalah mereka beribadat kepadaKu”

Dunia keseluruhannya hari ini amat memerlukan kepada agama Islam sama seperti dunia memerlukannya, sebelum seribu tiga ratus tahun yang lampau. Pihak barat sering kali merintih keresahan akibat kegagalan idologi sistem ciptaan mereka sendiri. Justeru itu kita sebagai penda’wah Islam yang diberi amanah untuk meneruskan perjuangan para anbiak perlu mempergiatkan lagi gerak kerja amal islami, amal jamai’e dan amal ijtimai’e agar kesatuan ummah dan Islam kembali dijulang di dunia hari ini.

AMAL ISLAMI : TUNTUTAN DAN MATLAMAT

a.Tuntutan Amal Islami

Mafhum firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah : ayat 208 yang bemaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman ! masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguh syaitan bagi kamu musuh yang terang”

Berdasarkan kepada ayat di atas menunjukkan kepada kita, bahawa Islam yang perlu diperjuangkan, mestilah menyeluruh, merangkumi semua aspek kehidupan manusia, ini kerana Islam sendiri agama yang lengkap meliputi seluruh lingkungan kehidupan manusia di dunia sehinggalah sampai ke penghidupan yang kedua dihari akhirat. Kesemuanya ini terkandung dalam gerak kerja atau amal Islam yang terbahagi pentaklifannya kepada individu, masyarakat dan persatuan.
Sebagai orang Islam yang mengaku akan keesaan Allah S.W.T dan kebenaran pesuruhNya, maka perlu bagi seorang individu itu, menjadi muslim/muslimah yang soleh dan solehah yang menggerakkan segala gerak kerja mereka, selari dengan perintah Allah Taala serta mengharapkan keredhaanNya. Seterusnya berdasarkan daripada pembentukan individu muslim/muslimah sejati tadi, dapat melahirkan generasi masyarakat Rabbani, yang tunduk dan patuh kepada segala ajaran Islam.
Oleh itu, untuk menggerakkan dan membentuk masyarakat Rabbani, yang tersusun dengan kehendak Islam,maka manusia amat memerlukan kepada kesatuan/persatuan atau organisasi. Keperluan ini berdasarkan kepada kehendak masyarakat, yang perlu disusun dan diatur, menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan agama serta kebajikan setiap individu masyarakat. Apabila wujudnya organisasi yang seperti ini maka, dengan secara tidak langsung dapat mengendalikan urusan-urusan agama, agar masyarakat tidak lari jauh daripada batas-batas Islam.
Oleh yang demikian itu, bedasarkan kepada kefahaman ini, maka seorang penda’wah Islam, sudah tentu dapat menyeimbangkan di antara kerja-kerja Islamiah yang perlu dilaksanakan mengikut aulawiyatnya yang terbaik.

b.Matlamat amal Islami

Matlamat asas 'amal Islami ialah menta`abidkan/mengembalikan manusia, samada sebagai individu mau pun masyarakat, supaya menjadi hamba hanya sanya kepada Rabb mereka, Allah swt. Ini bererti mengembalikan 'ubudiyah mereka kepada Allah di masjid dalam solah mereka dan begitu juga di pasar-pasar dalam jual beli mereka. Mengembalikan 'ubudiyah mereka hanya sanya kepada Allah dalam puasa mereka yang sepatutnya begitu juga 'ubudiyah mereka dalam melaksanakan pemerintahan', dalam do'a mereka dan begitu juga sepatutnya dalam perundangan dan kehakiman mereka.

Ringkasnya, mengembalikan 'ubudiyah manusia kepada Allah bermaksud supaya semua kepatuhan dan ketaatan mereka hanya sanya kepada Allah dalam semua urusan kehidupan mereka. Tidak ada perbezaan pada kepatuhan mereka samada dalam urusan agama mau pun dalam urusan dunia, samada di dalam masjid mau pun di luar masjid, semasa Ramadhan mau pun selepas Ramadhan. Apabila kita memisahkan urusan deen dan urusan dunia itulah sekular. Sekularisma ditegakkan di atas dasar pemisahan antara deen dan daulah, memisahkan antara agama dan negara.
Oleh itu menta`abidkan manusia hanya sanya kepada Allah bererti mengajak mereka menolak manhaj rekaan manusia yang memperhambakan manusia kepada thoghut. Sikap memperkudakan manusia supaya tunduk kepada sistem yang lain dari sistem Allah dalam manhaj-manhaj batil yang dikuasai thogut merupakan pencabulan terhadap hak-hak Alah; hak 'ubudiyah dan hak hakimiyah (memerintah) Allah swt.
إن الحكم إلا لله (الأنعام:57)
"Sesungguhnya hak menghukum dan memerintah itu hanya milik Allah."


AMAL JAMAI’E, AMAL IJTIMAI’E DAN KESATUAN UMMAH

a. Amal Jamai’e : Kepentingan dan Dalil
Amal Jama'iyy bukan sekadar suatu keperluan suasana semasa tetapi adalah tuntutan syar'ie khususnya dalam konteks gerakan dakwah dan perjuangan Islam seluruhnya sebagaimana yang diisyaratkan oleh Firman Allah S.W.T :
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'aruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang berjaya." Ali imran : 104
Ayat tersebut tidak hanya mengandungi perintah berdakwah (asalkan berdakwah saja) tetapi sekaligus mengandungi penekanan terhadap kaedah dakwah yang harus dilaksanakan menerusi wadah ummah yakni jamaah pendakwah. Tegasnya, kejayaan gerakan dakwah memerlukan kewujudan jamaah yang memahami. menghayati dan memperjuangkan Islam menerusi amal jama'iyy yang tersusun rapi.
Status syar'ienya amal jama'ieyy, diperjelaskan lagi dengan ayat Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh." as saff : 4
Ayat ini tidak hanya sekadar menyatakan keutamaan mereka yang berperang atau berjuang (asal berperang dan berjuang saja) tetapi sekaligus menyatakan sifat dan cirinya yang berbentuk saff, front atau angkatan yang utuh dan padu. Ungkapan bunyanun marsus (bangunan yang tersusun kukuh) bukan sekadar perbandingan umum (tashbih 'am) tetapi lebih merupakan pengambaran hakikat dan ciri asasi jamaah dengan jalinan perhubungan yang erat dan akrab di kalangan ahlinya, baik perhubungan emosi mahupun perhubungan tindakan dalam suatu skema kerja yang tersusun dan menjurus kepada matlamat yang tertentu dan terencana.
Maulana Abul A'la Al-Maududi rahimahullah dalam suatu amanatnya kepada para da'i yang bergerak dalam wadah jamaah menyatakan bahawa seorang mujahid dakwah tidak memada sekadar mempunyai keunggulan sifat-sifat fardiyyah (individual). Tetapi di samping itu dia masih perlu mempunyai sifat-sifat jama'iyyah yang baik untuk memungkinkannya menyesuaikan diri dengan peranannya sebagai suatu unit dari sebuah jentera jamaah dengan segala rangkaian sistem, skema dan rencananya. Sifat-sifat jama'iyyah yang baik seperti ta'ah (kepatuhan), ta'awun (kerjasama), tanasuh (nasihat-menasihati) dan tawasiyy (pesan-memesan dengan kebenaran dan kesabaran) akan menjamin ujudnya keseragaman, perpaduan dan keharmonian dalam seluruh gerakan jentera jamaah.
b. Amal Jamai'e : Erti dan Ciri
Amal Jama'iyy dapat dierti dan dicirikan sebagai kegiatan-kegiatan yang lahir bersumber dari sesuatu jamaah yang teratur (berorganisasi), menepati skema tertentu dan menjurus ke arah matlamat tertentu. Kegiatan jama'iyy tidak semestinya dijalankan oleh eluruh anggota jamaah, tetapi mungkin ianya hanya dijalankan oleh seorang anggota jamaah. Dalam konteks gerakan Islam, kegiatan tersebut harus pula bersifat syar'ie dengan status minimanya mubah (harus) termasuk apa yang diharuskan oleh Islam dalam keadaan darurah atau dalam bentuk rukhsah (keringanan) sama ada keharusan tersebut di dasarkan kepada nas nyata atau kepada ijtihad.
Seluruh kegiatan jamaah harus disusun dan direncanakan serapi mungkin kerana kedua-duanya (tanzim dan takhtit) adalah merupakan suatu kemestian sebagai jalan untuk menjayakan cita-cita Islamiah yang didukung oleh jamaah. Berdasarkan kepada kaedah syara' :
"ma la yatimmu l-wajibu illa bihi fa huwa wajib."
(Ertinya : sesuatu yang hanya dengannya terlaksana sesuatu yang wajib maka ianya turut menjadi wajib.) maka perencanaan kegiatan jamaah adalah wajib dari sudut syara'.
Kegiatan berencana dan berstrategi di samping bertawakkal bulat kepada Allah adalah merupakan jejak sunnah para Nabi a.s. sebagaimana yang diabadikan sejarahnya dalam Al-Quranul Karim. Antaranya ialah perencanaan strategi Nabi Ya'qub a.s. sepertti yang terungkap dalam Firman Allah S.W.T :
"Dan Ya'qub berkata, "Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, tetapi masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lainan, namun demikian, aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikit pun daripada (takdir) Allah, keputusan menetapkan sesuatu hanyalah hak Allah, kepadaNyalah aku bertawakkal dan hendaklah kepadaNya sahaja orang-orang yang bertawakkal berserah diri."
"Dan ketika mereka masuk menurut yang diperintahkan ayah mereka, maka (cara yang mereka lakukan itu) tiada melepaskan mereka sedikit pun dari takdir Allah, akan tetapi itu hanya suatu keinginan pada diri Ya'qub yang telah ditetapkannya. Dan sesungguhnya dia mempunyai pengetahuan kerana Kami telah mengajarkan kepadanya. Akan tetapi, kebanyakan manusia tidak mengetahui." Yusuf 67-68
Al-Quran juga mencatatkan perencanaan ekonomi untuk jangka waktu lima belas tahun oleh nabi Yusuf a.s :
"Yusuf berkata, "Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa, maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya, kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan." "Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memerah anggur." Yusuf 47-49
Sungguhpun sumber perencanaan-perencanaan tersebut adalah ilham dari Allah dan bukan bermaksud kita untuk memudahkannya ke murtabah perencanaan akal rendah manusia, tetpi hakikat itu tidak menjejaskan pengajaran (istinbat) bahawa perencanaan masa depan adalah suatu yang masyru'.
Sirah perjuangan Rasulullah S.A.W.(segala tahap yang dilalui dan segala langkah yang diambil) tidak dilakukan dengan mendadak, rambang dan sewenang-wenang. Tetapi semuanya diputus dan direncanakan dengan teliti dan rapi. sebagai contoh ialah langkah penghijrahan ke Habasyah (tidak ke negeri lain yang berdekatan, tidak ke mana-mana bumi Arab, tidak semua pengikutnya diperintahkan berhijrah dan Junjungan sendiri tidak ikut serta. Demikian pula dengan penghijrahannya ke madinah) dilakukan secara beransur-ansur, bersembunyai dahulu di Gua Thur selama tiga hari, dibuatnya penentuan peranan (Abu Bakar as-Siddiq r.a. sebagai teman pengiring, Abdullah ibn Urayqat sebagai pemandu jalan yang tidak biasa dilalui oleh Quraysh), Asma binti Abu bakar sebagai pembekal makanan, Abdullah ibn Abi Bakr sebagai pelopor berita dan Amir ibn Fuhayrah sebagai penggembala kambing di sisi gua. Pengamatan yang teliti terhadap segala fakta-fakta ini akan menyerlah hakikat adanya perhitungan yang matang dan perencanaan yang rapi.
Keharusan tanzim dari sudut syara' diperjelas lagi sebuah Hadis Rasulullah S.A.W. yang memerintahkan pengangkatan seorang ketua dalam perjalanan yang disertai oleh tiga orang. Jika suatu perjalanan yang sedemikian dekat dengan penyertaan dengan penyertaan yang sedemikian kecil memerlukan perlantikan seorang ketua, maka apa lagi sebuah jamaah harakiah yang tentunya lebih kompleks dengan keahlian yang sedemikian besar dan matlamat jangka panjang yang sedemikian jauh menuju ke arah perubahan cara hidup secara total.
Jelas kiranya bahawa soal qiyadah, imarah atau pimpinan dengan segala hak dan kewajipannya (yang dalam hal ini merupakan ciri asasi tanzim) adalah suatu yang masyru'. Bagaimanapun, pimpinan yang bersifat demikian harus pula memenuhi beberapa persyaratan yang antaranya termasuklah pemilihan yang bebas dan bay'ah yang sihat (bersih dari sebarang bentuk tekanan dan tipu helah).
Pimpinan dalam jamaah Islamiah pada dasar pokoknya harus berbentuk "fardiyy" (perseorangan) kerana memang bentuk inilah yang diisyaratkan oleh lafaz lahir nas-nas yang berkenaan dan demikian juga contoh-contoh precedent dalam sejarah Islam. Di samping itu bentuk pimpinan perseorangan dirasakan lebih berkesan khususnya dari segi kecepatan bertindak dan kecekapan pengurusan. Bagaimanapun dalam keadaan-keadaan tertentu dan untuk maslahah-maslahah tertentu pimpinan kolektif (qiyadah jama'iyyah) adalah diharuskan umpamanya untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya perpecahan, kerana ketiadaan calun yang cukup berkelayakan atau lain-lain.
Pimpinan yang bersifat syariyy juga harus mengamalkan dasar Syura, kerana menurut pendapat yang lebih kuat (ar-ra'yu 'r-rajih) di kalangan Ulama' hukum pengamalan syura adalah wajib. Ini di dasarkan kepada alasan bahawa salah satu nas yang berhubung dengan syura meletakkannya di samping dua rukun Islam yang penting iaitu solah dan zakah sehingga membawa implikasi bahawa syura adalah salah satu sifat atau syarat asasi seorang Muslim Mu'min. Sementara itu satu lagi nas tentang hal ini adalah berbentuk perintah (bi sighati'l amr). Sekalipun tidak ada kesepakatan Ulama' sama ada pimpinan wajib patuh atau tidak kepada keputusan syura tetapi setidak-tidaknya kewajipan mengamalkan syura itu sendiri membawa kesan minima bahawa pendapat ramai harus diminta dan diambil kira.
Sehubungan dengan ini berbai'ah persetiaan untuk taat dan mendukung segala tanggungjawab adalah juga suatu tuntutan syara'. Bai'ah adalah suatu Sunnah Nabawiyyah yang tercatat dalam sirahnya seperti Bai'atul Aqabah (pertama dan kedua) dan Bai'atur Ridwan. Antara nas yang berhubungan dengan hal ini ialah Hadis Rasulullah S.A.W :
"Dari Ubadah ibni Samit r.a., katanya...."Pernah kami mengikat janji setia (bai'ah) terhadap Nabi S.A.W. supaya kami patuh dan taat kepada perintah dalam waktu susah dan senang, dalam waktu rajin dan malas. Kami berjanji akan tetap setia sekalipun sampai pilihan orang lain jatuh di atas diri kami dan kami berjanji tidak akan mengambil (merebut) kekuasaan dari ahlinya. Dan kami berjanji mengatakan yang haq di mana saja kami berada. Kerana Allah kami tidak takut akan celaan orang yang mencela." Riwayat Bukhari dan Muslim
Sementara itu dalam konteks sejarah gerakan Islam mutakhir, al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna telah mengemukakan rumusan sepuluh rukun Bai'ah untuk diamalkan dalam Jama'atul Ikhwanil Muslimin iaitu kefahaman, keikhlasan, amal, jihad, pengorbanan, ketaatan, ketahanan, kebulatan, persaudaraan dan kepercayaan.
Kewajipan melantik pimpinan dengan sendirinya membawa pula kepada kewajipan mentaatinya kerana perlantikan pimpinan dalam konteks jamaah Islamiah bukan sekadar soal teknikal tetapi suatu prinsip syar'ie yang harus dipenuhi segala tuntutannya. Ketiadaan taat akan mendedahkan jamaah kepada ribut fitnah dan bencana maksiat. Oleh kerana perlantikan pimpinan itu sendiri suatu yang wajib syar'ie maka mentaatinya juga adalah wajib syar'ie sebagaimana yang ditegaskan oleh Firman Allah S.W.T :
"Hai orang-orang yang berIman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan orang-orang yang memegang kekuasaan di antara kamu......." An Nisa' 59
Sementara itu Rasulullah S.A.W. pula bersabda :
"Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi S.A.W. sabdanya, "Barangsiapa yang mentaati aku maka sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang mengingkari aku, maka sesungguhnya ia telah mengingkari Allah. Dan barangsiapa yang mentaati amirku, sesungguhnya ia telah mentaati aku. Dan barangsiapa yang mengingkari amirku, maka sesungguhnya ia telah mengingkari aku." Riwayat Bukhari dan Muslim
Ketaatan dalam konteks ini harus timbul dari kerelaan setulus ikhlas hati dan bersih dari
sebarang bentuk tekanan luar. Ianya dilakukan dalam rangka kepatuhan dan pengabdiannya kepada Allah yang kerananya ia diganjari pahala. Kepatuhan kepada pemimpin tidak seharusnya dirasakan sebagai penjejasan maruah dan harga diri. Motif segala perlakuan adalah seutuhnya kerana Allah dan Allah tidak menilai sesuatu amal perbuatan berdasarkan tinggi rendah jawatan yang disandang tetapi berdasarkan ketulusan niat masing-masing. Mungkin Allah menerima amal bakti dari barisan belakang tetapi tidak menerima dari barisan hadapan dan mungkin pula sebaliknya. Dengan pengertian ini sikap tidak taat hanya mungkin timbul dari barah ananiyah, ego dan angkuh yang masih menguasai diri.
Kegiatan-kegiatan amal jama'iyy harus berpandukan minhaj yakni skema tertentu yang merangkumi kaedah, cara dan pemeringkatan kerja. Cara bekerja (uslubul 'amal) dalam konteks jamaah Islamiah harus di dasarkan kepada prinsip-prinsip tertentu termasuk :-
a. Keselarasannya dengan kehendak syara' atau sekurang-kurangnya tidak bertentangan dengan syara'. Pencapaian matlamat yang murni harus melalui jalan yang juga murni. Atas prinsip ini Islam tidak dapat menerima dasar "al-ghaiyah tubarrirul wasilah" (tujuan menghalalkan cara. )
b. Kesesuaiannya dengan kemampuan jamaah dan suasana persekitaran.
c. Sifat elastis - kesediaan untuk mengalami jangkamasa panjang jika keadaan memerlukannya.
d. Dasar beransur-ansur dalam perlaksanaan.
e. Realistik - mengambil kira segala fakta dan kenyataan.
Ciri amal jama'iyy seterusnya ialah penjurusan ke arah matlamat tertentu yang dalam konteks ini ialah perlaksanaan cita-cita Islamiah iaitu penterapannya sebagai tata hidup yang sempurna menggenapi segala bidang kehidupan atau dengan ungkapan lain seperti yang dirumuskan oleh Rub'iyy ibn Amir dalam operasi ketenteraannya :
“Sesungguhnya Allah telah mengutus kami untuk membebaskan sesiapa yang dikehendakiNya dari pengabdian kepada manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan kelapangan akhirat dan dari kezaliman agama/ideologi (songsang) kepada keadilan Islam."
Amal jama'iyy sebagai program gembelingan tenaga ke arah menjayakan cita-cita Islamiah memerlukan dokongan para kader dan sokongan ummat. Oleh itu gerakan Islam harus dapat mengimbangi di antara pembinaan barisan kader "as-Safwatul Mukhtarah" yang merupakan tenaga teras dalam jamaah dengan usaha meratakan kesedaran Islam "al-Wa'yul Islami" di seluruh lapisan masyarakat. Dalam hal ini kita tidak punya pilihan untuk mengambil yang satu dengan meninggalkan yang lain.
Kedua-duanya harus digarap sekaligus. Barisan as-Safwatul Mukhtarah perlu dibina kerana hanya dari mereka sahajalah kita dapat mengharapkan kesetiaan dan kesanggupan yang seutuhnya dalam menghadapi segala ranjau risiko dan cubaan perjuangan. Sejarah peperangan Hunain yang tercatat dalam sirah Rasulullah S.A.W. adalah merupakan peristiwa precedent yang harus diambil i'tibar bahawa golongan teras inilah yang membawa survival gerakan Islam dan bukan golongan awam yang berkuantiti puluhan ribu tetapi berkualiti serapuh buih "ka guta'is sail".
Bagaimanapun hakikat tersebut tidak pula bererti bahawa golongan massa tidak perlu diberi perhatian. Gerakan Islam juga harus bersifat "jamahiriyyah" bertapak dan berakar ditengah-tengah masyarat kerana masyaratlah yang merupakan gelanggang dakwah dan medan amal jama'iyy. Gerakan Islam bukan kelompok kecil, terpencil dan terasing di menara gading asyik sendiri dengan istilah-istilah bombastic, sedang masyarakat keliling tidak menyertai, tidak bersimpati, malah mungkin tidak menyedari keujudannya.
Firman Allah Ta'ala :
"Dan katakanlah, "Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara yang benar dan keluarkanlah aku secara yang benar dan kurniakanlah aku dari sisiMu kekuasaan yang menolong." Al Isra' 80

PENUTUP

Mafhum firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik, merekalah isi syurga, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah:82)
Berdasarkan ayat ini, menunjukkan kepada kita, sesungguhnya Allah Taala menyediakan Syurga sebagai ganjaran bagi hambaNya yang melakukan amal kebaikan. Oleh itu, untuk memastikan segala amal gerak kerja ini, diterima Allah S.W.T, manusia memerlukan kepada ketulusan hati yang ikhlas dan suci murni, hanya mengharapkan keredhaan Allah Taala dalam segala gerak kerja yang dilakukan, bertepatan dengan mafhum firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan mereka tidak diperintah melainkan hanyalah untuk beribadat kepada Allah Taala, dengan tulus ikhlas beragama untuk Allah semata-mata” . (Al-Bayyinah:5)




BAHAN RUJUKAN :

BEBERAPA PELAJARAN DALAM AMAL ISLAMI OLEH USTAZ SAID HAWWA.
AMAL JAMAI’E GERAKAN BERSAMA OLEH USTAZ MUSTAFA MASYHUR.
AL-MAUSUA’H AL-HARAKIAH ( JILID 1 ) OLEH USTAZ FATHI YAKAN.
PETUNJUK UNTUK PENDA’WAH OLEH USTAZ ABU A’LA AL-MAUDUDI.